Tiada kes di Kelantan, bukan tiket ingkar PKP

Dr Zaini (kiri) bersama Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Penjara Mat Yaacob (tengah) ketika melancarkan label baru pembungkusan kuih raya Jabatan Penjara Pengkalan Chepa di sini. Foto: RIZAL TAHIR
- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Walaupun lima hari berturut-turut tiada kes baru Covid-19 di Kelantan, ia bukan ‘tiket’ untuk masyarakat tidak patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Zaini Hussin, berkata, masyarakat tetap perlu mematuhi arahan PKP supaya momentum tersebut boleh dikekalkan.

“Walaupun lima hari berturut-turut tiada kes baru, kita kena sedar kebolehan jangkitan itu masih ada.

- Advertisement -

“Ini kerana kita belum mencapai tahap tertentu yang sepatutnya,” ujarnya kepada media ketika ditemui selepas pelancaran label pembukusan kuih raya Jabatan Penjara Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan orang awam yang dilihat seolah-olah tidak begitu mematuhi arahan PKP sejak akhir-akhir ini, khususnya pergerakan ke pusat bandar.

Bagaimanapun katanya, kepatuhan rakyat terhadap PKP menunjukkan graf kes positif Covid-19 di peringkat negeri dan national semakin menurun.

Meskipun begitu, beliau menasihati orang ramai supaya mengamalkan penjarakkan sosial dan berada di rumah serta sentiasa menjaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan.

Dr Zaini juga mengingatkan agar tidak mengunjungi tempat yang padat dengan orang ramai bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Sebelum itu beliau melancarkan label pembungkusan kuih raya yang dianjurkan bersama Fakulti Teknologi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang diadakan di Dewan Sri Setia, Penjara Pengkalan Chepa.- HARAKAHDAILY 22/4/2020

- Advertisement -