Sikap kita dalam menyambut Ramadan

ramadan
- Advertisement -

BERUSAHA mendapatkan pengampunan dari Allah

Bulan Ramadan dikenali juga sebagai bulan puasa kerana pensyariatan kewajipan puasa adalah di dalam bulan Ramadan selama sebulan. Ramadan sinonim dengan berpuasa di pagi harinya. Antaranya hikmah dipilih bulan Ramadan sebagai bulan kewajipan berpuasa adalah antaranya perkataan Ramadan itu sendiri membawa maksud bersangatan panas. Justeru, ia diharapkan ‘membakar dosa-dosa’ hasil ketaatan berpuasa.

- Advertisement -

Ia diungkapkan dengan perkataan:

يرمض الذنوب

Justeru, boleh kita lihat beberapa ganjaran yang melibatkan Ramadan dan puasa serta yang berkaitan dengannya adalah bagi mendapat pengampunan dari Allah seperti berikut:

(1) Menghidupkan Ramadan memperoleh ampunan dosa terdahulu.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ [وفي رواية]: مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Siapa saja yang berpuasa Ramadan dengan dasar iman, dan berharap pahala dan redha Allah, maka dosanya yang lalu pasti diampuni.” [dalam riwayat lain]: “Siapa saja yang melakukan qiyam [di malam hari] Ramadan dengan dasar iman, dan berharap pahala dan redha Allah, maka maka dosanya yang lalu pasti diampuni.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(2) Doa yang disarankan ketika bertemu Lailatul Qadr ialah memohon ampunan dosa.

Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa beliau bertanya Rasulullah S.A.W: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Baginda S.A.W bersabda:

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

“Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”

(Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad)

(3) Mereka yang berlalunya Ramadan tanpa mendapat pengampunan dari Allah disifatkan sebagai golongan yang rugi.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa:

أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ فَقَالَ إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يَبِرَّهُمَا فَمَاتَ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ

“Ketika Nabi S.A.W menaiki mimbar, Baginda S.A.W bersabda: “Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda S.A.W ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin”. Maka Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Jibril A.S telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah S.W.T. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan barangsiapa sempat dengan kedua orang tuanya tetapi tidak berlaku baik kepada mereka. Kemudian dia meninggal maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah S.W.T. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan barangsiapa yang disebut kepadanya dan dia tidak berselawat kepadaku, maka dia akan dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah S.W.T. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.

[Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/57]

Berdasarkan Hadis ini, salah satu dari tiga hal yang disebutkan ialah orang yang bertemu bulan Ramadan tetapi tidak mendapat keampunan daripada Allah S.W.T.

Objektif ketakwaan yang diharapkan

Perintah berpuasa dijelaskan oleh Allah akan objektifnya iaitu takwa. Puasa yang tidak membawa kepada ketakwaan dibimbangi hanyalah sia-sia iaitu hanya sekadar lapar dan dahaga sepanjang hari. Berpuasa tidak hanya pada menahan lapar dan dahaga serta perkara yang membatalkan puasa secara hukum fiqh. Namun mestilah juga mengambil kira impak puasa pada kerohanian dan nilai kehambaan dengan puasa itu menjadi perisai atau pelindung dari orang yang berpuasa itu dari melakukan maksiat.

Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

[al-Baqarah: 183]

Mereka yang berpuasa sekadar tahan lapar dan dahaga namun berkelakuan melakukan dosa sama ada mulutnya dan perbuatan tingkah lakunya hakikatnya mereka ‘tidak disuruh pun berpuasa’. Maksudnya puasanya adalah sia-sia malah tidak diterima.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta, perbuatan dusta, maka Allah tidak butuh dia meninggalkan makanan dan minumannya”.

(Riwayat al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ ، وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ

“Berapa banyak orang yang berpuasa, hanya mendapatkan dari puasanya rasa lapar dan haus saja, dan berapa banyak orang yang melakukan qiyamullail hanya mendapatkan dari qiyamullailnya hanya terjaga malam sahaja.”

(Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Puasa menjadi perisai atau pelindung dari melakukan maksiat

Dengan berpuasa, seseorang ditegah untuk melayan sebarang perkara yang tidak elok atau cercaan ke atasnya dengan mengatakan ‘aku sedang berpuasa’. Tujuannya adalah untuk:

(1) Memperingatkan bahawa dirinya sedang berpuasa, maka bersabar, jangan lakukan sesuatu perkara yang merugikan pahala.

(2) Memperingatkan orang yang buat kejahatan kepadanya bahawa untuk memberhentikan kejahatan kerana amat buruk kelakuan perbuatan jahat terhadap orang yang sedang dalam ibadah iaitu berpuasa.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَصْخَبْ، فَإِنْ شَاتَمَهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ: إنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

“Apabila adalah hari berpuasanya oleh seseorang kamu berpuasa, maka jangan berkata keji dan jangan bersikap bodoh. Kalau ada seseorang yang mengherdiknya atau menghinanya maka katakan kepadanya, sesungguhnya saya sedang puasa.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, puasa menjadi perisai kerana menegah seseorang yang sedang berpuasa khususnya untuk berhenti dan tidak melakukan sesuatu yang merugikan dan terbatalnya pahala. Ini kerana pahala berpuasa adalah istimewa dengan langsung diganjari oleh Allah.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Allah berfirman (Hadis qudsi):

قال الله عزوجل: كل عمل بن آدم له إلا الصيام؛ فإنه لي وأنا أجزي به، والصيام جنّة

“Setiap amal anak Adam adalah baginya kecuali puasa, sesungguhnya ia untuk –Ku, Aku yang akan membalasnya. Puasa adalah perisai.”

(Riwayat al-Bukhari)

Bukan alasan untuk bermalasan dan tidur sepanjang hari

Ramadan bulan yang umat Islam jangan jadikan ‘back fire’ ke atas agama Islam itu sendiri dengan menjadi malas, kurang produktiviti dan hanya tidur sepanjang hari atas alasan penat dan tiada tenaga. Jika ini berlaku, maka akan menjadi tohmahan bahawa dengan melakukan ibadah dan ketaatan, umat Islam jadi lemah dan lembik. Sedangkan sepatutnya dengan melaksanakan ibadah dan ketaatan umat Islam menjadi lebih baik dan berkualiti.

Lantaran itu, Syeikh Ali Ahmad al-Jarjawi di dalam kitabnya Hikmah al-Tasyri’ Wa Falsafatuh menyebut orang yang tidur sepanjang hari Ramadan tanpa meninggalkan kewajipan adalah hukumnya makruh. Ini kerana menghilangkan antara hikmah berpuasa dalam mendidik jiwa nafsu untuk merasai sebagaimana kesusahan orang yang miskin tiada makan minum agar lahir didikan bersyukur atas nikmat kurniaan Allah.

Bulan Ramadan dalam keadaan berpuasa sewajarnya diperhebatkan lagi ibadah kerana ia bulan yang menjadi penghulu segala bulan malah dalam bulan ini syaitan pun diikat. Ditambah lagi, motivasi kemenangan Badar al-Kubra dan peristiwa pembukaan Kota Makkah yang berlaku menunjukkan bulan Ramadan bukannya masa untuk lemah dan tidak produktif.

Justeru susun dan rancang jadual ibadah seharian dengan pelbagai ibadah dan aktiviti bermanfaat:

(1) Tadarus al-Quran sehingga khatam dan tadabbur.
(2) Perbanyakkan sedekah.
(3) Memelihara solat fardhu berjemaah.
(4) Bangkit qiyamullail dan bersahur.
(5) Mendirikan solat sunat terawih.
(6) Memburu lailatul qadr khususnya pada 10 malam terakhir serta tumpuan pada malam yang ganjil.
(7) Mengejar waktu mustajab doa iaitu pada ketika hendak berbuka puasa.

Justeru, keinginan kita bertemu dengan Ramadan bukanlah sekadar berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan sebaiknya. Maka berdoalah agar Allah menemukan kita dengan Ramadan dalam keadaan kita siap siaga untuk beramal ibadah;

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

“Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”

(Riwayat al-Tabarani di dalam al-Du’a dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’)

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 22/4/2020

- Advertisement -