Covid-19: E-Ramadan Kelantan ganti bazar Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan tidak perlu bimbang untuk membeli juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan ini meskipun bazar seperti biasa tidak lagi diadakan tahun ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 menyebabkan penduduk di seluruh dunia terpaksa mengubah cara hidup mereka.

Sebaliknya di Kelantan kerajaan negeri menyediakan e-Ramadan Kelantan menggantikan bazar Ramadan bagi membolehkan orang ramai menikmati juadah berbuka.

- Advertisement -

Pengurus Besar Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd Mohd Roslan Mohd Zain berkata, e-Bazar Ramadan Kelantan dijenamakan semula kepada e-Ramadan Kelantan bagi mengelakkan kekeliruan rakyat.

Katanya tempahan boleh dibuat secara atas talian melalui aplikasi dan Laman Web Oda Makan dan Kelantan Pay.

“Tempahan pelanggan akan diselaras melalui sistem secara terus kepada peniaga. Semua makanan yang ditempah mesti dihantar dengan cara hantar dan letak di pusat transit yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Pengurus Besar Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd Mohd Roslan Mohd Zain

Peniaga yang berdaftar diminta mengemukakan senarai, gambar dan harga makanan yang dijual untuk dipamerkan dalam Laman Web Oda Makan.

“Pembeli tidak perlu datang ke pusat pengumpulan makan, syarikat penghantar makanan akan menghantar ke rumah pembeli masing-masing,” katanya.

Sabtu lalu, Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata rakyat di negeri itu masih dapat membeli juadah sepanjang tempoh PKP ini dengan membuat pembelian secara atas talian.

Bagaimanapun peniaga dan pembeli e-Ramadan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Setiap jajahan mempunyai pusat pengumpulan makanan dan melibatkan peniaga yang berdaftar.

E-Ramadan tersebut diuruskan anak syarikat kerajaan negeri iaitu ICT Gateway Sdn Berhad dengan kerjasama syarikat penghantar makanan OdaMakan.

Orang ramai boleh membuat tempahan makanan di talian sebelum jam 10.30 pagi. Dan makanan akan dihantar bermula jam 3.30 hingga jam 6.30 petang.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 09-7414370 atau Whatsapp 0111 6660 697. Pendaftaran dibuka untuk semua peniaga kecil di Kelantan.

Aplikasi yang serupa juga diwujudkan Pusat Khidmat Dun Melor melalui platform #BazaarOnlineDUNMelor.

Di Melor peniaga perlu menyediakan khidmat rider/penghantaran sendiri kepada pelanggan.- HARAKAHDAILY 22/4/2020

- Advertisement -