Aliran tunai ‘under control’

- Advertisement -

KITA semua berharap penularan COVID-19 di negara ini dapat dikawal. Bukan itu sahaja, kita juga mahu anak, isteri, bekalan makanan dan sebagainya semua dalam keadaan terkawal (under control). Banyak perkara akan melahirkan perasaan damai apabila ia dalam keadaan terkawal termasuklah juga aliran tunai.

Menurut kajian Bank Negara Malaysia tahun 2019, 76 peratus rakyat Malaysia ada membuat bajet untuk perbelanjaan mereka. Daripada jumlah itu, 40 peratus menyatakan sukar ikut bajet yang mereka sendiri buat. Dengan kata lain, 60 peratus rakyat Malaysia senang untuk ikut bajet. Peratusan ini agak mendamaikan.

Sungguh pun begitu, 84 peratus daripada mereka hanya mampu ‘menyimpan’ duit untuk tempoh masa yang pendek. Duit yang ‘disimpan’ itu akan dikeluarkan pada hujung bulan untuk menampung perbelanjaan harian. Agak menakutkan. Ini pada saya bukan ‘simpan’. Ini saya panggil ‘transit’.

- Advertisement -

Demi untuk mencapai erti kata ‘simpan’ itu tadi, saya telah mencari teknik urus duit untuk saya praktikkan. Sepanjang pengalaman saya, macam-macam teknik urus duit yang saya jumpa. Teknik Piramid, Teknik Wau Bulan, Teknik Bateri Komputer, Teknik Diet, Teknik Nilai Hobi dan Teknik Bawah Aras. Paling mengejutkan saya ialah Teknik Simpanan Kejam.

Akhirnya saya jumpa teknik urus duit yang mudah dan memudahkan. Saya tak perlu mencatat sekecil-kecil item setiap kali berbelanja. Saya hanya perlu mencatat sekali dalam sebulan. Selebihnya saya boleh berbelanja ‘sesuka hati’. Teknik ini disebut sebagai Teknik Sampul.

Saya tidak pasti siapa gerangan yang mencipta teknik ini. Teknik ini boleh didapati dengan mudah hanya dengan menekan butang carian di internet. Di sini saya akan sebutkan secara umum mengenai teknik ini serta inovasi yang saya lakukan.

Teknik Sampul

Sesuai dengan namanya ‘Teknik Sampul’, teknik ini asalnya menggunakan sampul surat. Tetapi dulu saya gunakan sampul duit raya. Daripada semua duit gaji yang saya dapat, saya masukkan jumlah tertentu dalam setiap sampul mengikut tujuan perbelanjaan.

Masukkan duit belanja makan dalam sampul ‘makanan’, minyak kereta dalam sampul ‘petrol’, hutang rumah dalam sampul ‘loan’ dan seterusnya. Bagi perbelanjaan setahun sekali (contohnya takaful kenderaan), saya bahagikan perbelanjaan itu dengan 12 bulan kemudian saya masukkan dalam sampul ‘roadtax dan insurans’.

Saya kemudian inovasikan Teknik Sampul kepada bekas sandwich. Disebabkan bekas itu umpama kerang dengan ruang dalamnya yang luas, saya buat ruang-ruang duit daripada kertas keras kemudian saya gam ia dalam bekas itu.

Suatu hari saya terjumpa mini fail sebesar tapak tangan yang diperbuat daripada plastik. Dalam mini fail itu tersedia banyak ruang yang dipisahkan oleh helaian plastik keras. Saya terus tinggalkan bekas sandwich dan mula gunakan mini fail itu.

Saya sebenarnya telah menginovasikan pula fail mini itu kepada bentuk yang baru. Namun maklumatnya masih lagi rahsia. Insya Allah saya akan maklumkan nanti melalui laman facebook saya ini.

Realiti hari ini

Realiti pahit yang berlaku pada hari ini bermula pada hari gaji. Anda akan ‘cucuk’ mesin ATM, masukkan duit dalam dompet, pergi bank sebelah untuk bayar hutang. Kemudian belanja, belanja dan belanja. Apabila tak cukup duit dalam dompet, anda akan ‘cucuk’ lagi mesin ATM dan masukkan duit dalam dompet. Kemudian belanja, belanja dan belanja. Tahu-tahu duit dah ‘kering’ (biasanya tengah bulan).

Terpaksalah ikat perut atau korek sana sini sementara menunggu hari masuk gaji yang seterusnya. Disebabkan itulah munculnya ayat berbunyi ‘dompet umpama bawang. Membukanya kadang-kadang boleh mengeluarkan air mata’.

Ayat itu ada benarnya. Dompet hari ini dicipta bukan untuk anda simpan duit. Dompet hari ini dicipta sekadar untuk anda ‘transit’ duit. Namun masalah sebenar terletak pada tuan dompet. Bukan pada dompet. Saya sendiri masih gunakan dompet tetapi dompet itu ‘mendamaikan’ saya.

Untuk anda yang baru belajar bajet duit, saya cadangkan anda mencuba Teknik Sampul itu tadi. Anda hanya perlu masukkan duit sekali sebulan kemudian belanja ikut apa yang ada dalam setiap sampul. Apa pun yang berlaku, cuba untuk tidak sentuh sampul ‘kecemasan’, ‘simpanan’ atau sampul belanja tahunan.

Anda juga tak perlu ‘rigid’ dengan apa yang ada dalam setiap sampul. Be flexible. Kalau tengah bulan duit dalam sampul ‘makanan’ kurang dan duit dalam sampul ‘kenderaan’ ada lebihan, anda boleh ambil sedikit duit daripada sampul ‘kenderaan’ dan masukkan dalam sampul ‘makanan’.

4 wasiat urus aliran tunai

Sebelum saya akhiri sembang pada kali ini, saya hendak ‘wasiatkan’ anda dengan 4 pesanan:

(i) Imbau kembali 3 tahap perbelanjaan yang saya sebut dalam tulisan terdahulu. Jika anda berada pada individu tahap 2, kawal perbelanjaan supaya tak melimpah ruah sampai ke tahap 3. Suka saya sebut sekali lagi, ilmu bajet bukan setakat ilmu mengenai kawal duit. Ia juga ilmu kawal nafsu. Kalau pendapatan anda hanya dari duit gaji, nanti saya kongsikan cara untuk sampai ke tahap 3.

(ii) Semua orang mengimpikan gaji yang besar-besar beserta bonus yang berlipat kali ganda. Itu lumrah. Namun, jumlah gaji bukan penyelesaian kepada masalah kewangan hari ini. Paling penting, anda mampu untuk kawal gaji setakat yang ada sekarang. Fokus pada perkara yang dalam kawalan anda.

(iii) Bincang secara harmoni isu bajet kewangan bersama pasangan jika anda sudah berumah tangga. Pembaca dari kalangan perempuan dinasihatkan tidak ‘mendesak’ seolah suami perlu ikut panduan saya. Psikologi lelaki berbeza dengan perempuan. Perempuan bercerita panjang lebar untuk tujuan berkongsi. Otak lelaki selalunya menafsirkan itu sebagai ‘mendesak’.

(iv) Awas item haram dalam aliran tunai. Ia membuang keberkatan daripada duit anda.

Di akhir sembang kita kali ini, saya tinggalkan anda dengan isyarat yang terkandung dalam ayat al-Quran di bawah. Dalam skop pengurusan kewangan, seolah-olah Allah mahu manusia menitikberatkan soal bajet sebab Allah sendiri menurunkan rezeki dengan berkadar. Saya ulang ia sekadar ‘isyarat’. Bukan hukum fekah.

وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَآئِنُهُ وَمَا نُنَزِّلُهُ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ

“Tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami (Allah) sahaja perbendaharaannya dan Kami (Allah) tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu.”

(al-Hijr: 21)

*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

Oleh: HASNAN AB – HARAKAHDAILY 22/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -