COVID-19: Isteri , anak MB Terengganu jahit PPE

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU:  Siapa sangka isteri kepada seorang pemimpin nombor satu negeri Terengganu ini ada kemahiran menjahit bersama anak-anaknya.

- Advertisement -

To’ Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman merupakan isteri kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau yang mesra dengan panggilan ‘kak zah’ turut terpanggil untuk berkhidmat menyediakan pakaian pelindung diri bagi tujuan kegunaan barisan hadapan menangani wabak Covid-19.

Sejak beberapa hari lalu, Tuan Faezah bersama empat orang anaknya yang mempunyai kemahiran menjahit bertungkus-lumus menghasilkan Pakaian Pelindung Diri (PPE) buat petugas ‘frontliners’ khususnya di hospital-hospital negeri Terengganu.

Menurut Tuan Faezah, pakaian pelindung diri yang dihasilkan itu akan disumbangkan kepada petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Katanya, inisiatif bagi menyediakan PPE itu dilakukan bersama ramai lagi sukarelawan dalam kalangan muslimah negeri Terengganu.

“Sebenarnya ini adalah projek Muslimat (PAS) Negeri Terengganu, yang sama-sama Kak Zah sertai di mana kain-kain diagihkan kepada semua sukarelawan untuk dijahit di rumah masing-masing beberapa hari lalu.

“Insya’Allah, untuk fasa kedua ini Kak Zah berharap diri Kak Zah sendiri dapat siapkan 100 pasang PPE,” ujarnya ketika dihubungi Harakah.

Menurutnya, mereka akan mengumpulkan semua PPE yang telah siap dijahit sebelum diagihkan kepada para petugas kesihatan di seluruh negeri ini.

“Ini hanyalah sumbangan kecil kami dengan kemahiran yang ada kerana kami menyedari PPE menjadi keperluan penting bagi petugas barisan hadapan ketika ini,” jelas isteri Naib Presiden PAS itu.

Tuan Faezah berkata, beliau berharap usahanya itu dapat memberi inspirasi kepada orang ramai terutama wanita di luar sana untuk terus menyumbang kemahiran yang dimiliki, dalam membantu petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan risiko ketika bertugas menangani wabak COVID-19.

Harakah difahamkan, inisiatif penyediaan PPE oleh Muslimat PAS Terengganu adalah kerjasama dengan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Terengganu.

Seramai 50 tukang jahit sukarelawan berjaya dikumpul dan diagihkan tugas bagi menjahit set pakaian PPE bagi kegunaan petugas di barisan hadapan menghadapi pandemik Covid-19 di negeri ini. – HARAKAHDAILY 21/4/2020

- Advertisement -