PKPD keenam diumum, libatkan 8 parcel

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengenakan satu lagi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di Selayang bermula hari ini hingga 3 Mei ini.

- Advertisement -

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata di atas nasihat Menteri Kesihatan, PKPD keenam dilaksanakan melibatkan lapan parcel yang telah dikenalpasti.

“Lapan parcel berikut, Parcel A: Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, Parcel B: Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, Parcel C: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, Parcel D: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur, Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur, Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B, Kuala Lumpur dan Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar, Kuala Lumpur,” jelas beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD keenam ini dilaksanakan untuk membendung jangkitan COVID-19 di kawasan tersebut dan langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan dan saringan dapat dilakukan keatas penduduk di kawasan tersebut sepanjang tempoh PKPD itu berkuat kuasa.

“Semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Beliau turut berkata, penghuni yang mempunyai sebarang keperluan bantuan atau pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di talian 03-4026 7222 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-4048 2212. – HARAKAHDAILY 20/4/2020

- Advertisement -