Perikanan: Harap ‘ais beku’ Lesen A ‘dicairkan’

- Advertisement -

ANTARA sebab yang selalu disebut oleh Jabatan Perikanan sebagai justifikasi untuk membekukan pengeluaran lesen nelayan kelas A ialah bagi menjaga sumber perikanan. Dikatakan sumber perikanan kita makin sedikit. Bila nelayan makin ramai maka makin banyak sumber perikanan akan dikaut lalu akhirnya sumber itu akan habis.

Realitinya, nelayan pantai kelas A dan nelayan fiber tidak menggunakan alatan menangkap ikan yang merosakkan sumber perikanan dan mengganggu ekosistem marin. Yang menjadi igauan ialah kegagalan mengawal aktiviti pukat tunda yang menceroboh zon tangkapan nelayan pantai.

- Advertisement -

Selain dari pukat tunda tersebut merosakkan unjam dan tukun, saya membaca laporan mengatakan kira-kira 60 peratus dari hasil pendaratan pukat tunda adalah anak-anak ikan yang akhirnya menjadi ikan baja bernilai rendah. Boleh fahami dengan mudah berapa banyak negara akan untung dari segi sumber perikanan kalau 60 peratus anak-anak ikan ini dibiarkan membesar.

Itu belum lagi ditambah fakta bahawa majoriti bot pukat tunda didominasi oleh nelayan warga asing sementara nelayan pantai dan nelayan fiber ialah warga tempatan.

Pendapat saya, pembekuan pemberian lesen nelayan kelas A dan lesen nelayan fiber perlu dikaji semula supaya justifikasinya pembekuannya benar-benar berpijak di bumi nyata. Tak beri lesen pun mereka tetap kelaut kerana itulah sumber rezeki yang ada. Simpati saya bersama mereka.

DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 20/4/2020

- Advertisement -