PKP: Kasihkan saudara, bakti kepada ibu bapa

- Advertisement -

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) kini memasuki minggu pertama Fasa 3 dapat dilihat masyarakat semakin biasa dengan normal baru dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Tambahan pula, tidak sampai seminggu lagi, umat Islam InsyaAllah akan mula melaksanakan rukun Islam ketiga, berpuasa di bulan Ramadan Kareem pada hari Jumaat ini yang masih dalam tempoh PKP.

Sudah pasti ketika ini ada yang bertuah berada bersama keluarga di rumah dengan baik tetapi sebahagiannya juga ada yang terpisah jauh daripada ahli keluarga atas pelbagai faktor.

Lebih-lebih lagi buat mereka yang terpaksa berjauhan dengan kedua ibu bapa yang tinggal di kampung bersendirian amatlah memerlukan perhatian berterusan.

- Advertisement -

Jika sebelum PKP boleh menziarahi mereka mengikut tempoh dan kekerapan tertentu, namun kini seharusnya diusahakan sekurang-kurangnya bertanya khabar melalui telefon dan mendapatkan bantuan daripada mereka yang terdekat.

Ini kerana, Allah S.W.T berfirman dalam surah an-Nisa’, ayat 36 yang bermaksud;

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

Maka penting untuk kita saling bantu membantu bagi memastikan hubungan silaturahim terus berkekalan lebih-lebih lagi melibatkan kedua ibu bapa dan saudara terdekat.

Allah S.W.T memerintahkan dalam banyak ayat al-Quran agar semua kita sebagai hamba-Nya untuk berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa serta mentaatinya selagi mana tidak melanggar syarak.

Dan turut diperjelas Hadis Nabi daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata yang bermaksud;

“Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan amalan apakah yang paling afdhal, lalu Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah amalan yang seterusnya? Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibu bapa.” Kemudian aku bertanya, apakah lagi seterusnya? Jawab Baginda: “Berjihad di jalan Allah.”

(Riwayat al-Bukhari)

Ianya menunjukkan bahawa amalan tersebut sangat dicintai Allah S.W.T dan oleh sebab itu juga disarankan setiap rezeki yang diperolehi, sebahagian utamanya dikongsikan bersama ibu bapa, isteri, anak-anak dan adik beradik.

Bagi mereka yang telah ketiadaan ibu bapa di dunia ini, perbanyakkan doa, bersedekah bagi pihak keduanya serta turut memuliakan sahabat-sahabat ketika mereka hidup agar amal kebaikan berterusan.

Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi’ah As-Sa’idi R.A berkata;

“Ketika kami sedang bersama Rasulullah S.A.W, tiba-tiba ada seorang lelaki daripada Bani Salamah datang kepada Baginda S.A.W. Lelaki tersebut bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada ruang untuk aku berbuat baik kepada kedua orang tuaku setelah mereka meninggal?” Baginda menjawab: “Ya, mendoakan dan memintakan keampunan untuk kedua-duanya, melaksanakan wasiatnya, menyambung jalinan silaturahim mereka dan memuliakan teman mereka.”

(Riwayat Abu Dawud, Ibn Majah, Ahmad)

Dianjurkan juga untuk kita mendoakan kerahmatan dan kesejahteraan buat kedua ibu bapa sebagaimana Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

(Surah al-Isra’: 24)

Marilah sama-sama kita bermusahabah serta menilai sendiri sejauhmana kecaknaan kita kepada saudara mara kita khususnya adik beradik dan salasilah keluarga terdekat.

Menjelang tiba Ramadan pada tahun ini dalam suasana berbeza barangkali setiap daripada kita, bolehlah kita saling berpesan mengenai kebaikan sebagai tanda kasih sayang.

Mudah-mudahan Ramadan hadir tidak disia-siakan namun sebaliknya dapat dimanfaatkan agar sama-sama kita menelusuri jalan lurus menuju ke syurga Allah S.W.T.

ZULFAHMI RAMLI – HARAKAHDAILY 19/4/2020

- Advertisement -