Jamin bekalan makanan cukup sepanjang PKP

Dato' Che Abdullah Mat Nawi memetik buah tembikai wangi ketika lawatannya sempena Majlis Kutipan Hasil Projek Kelompok Pemulihan Tanah Terbiar Kampung Slow Terliar, di sini hari ini. Foto: RIZAL TAHIR
- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan telah memberi jaminan bahawa bekalan makanan dalam negara mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia II Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata kerajaan sentiasa melakukan pemantauan terhadap bekalan makanan agar mencukupi dan sampai kepada rakyat.

“Setakat ini tiada masalah dari segi bekalan makanan. Memang ada masalah kecil seperti pergerakan (penghantaran bekalan) kerana PKP.

“Walau bagaimanapun, bekalan setakat ini dapat sampai kepada rakyat mencukupi. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memastikan rantaian pembekalan makanan tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Kutipan Hasil Projek Kelompok Pemulihan Tanah Terbiar Kampung Slow Terliar, di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau juga mengatakan bahawa bekalan import masih berjalan seperti biasa kerana terdapat makanan yang tidak dikeluarkan dalam negara dan mendapat permintaan.

“Sebenarnya bekalan makanan yang dikeluarkan dalam negara mencukupi seperti buah-buahan, cuma yang kita import buah-buahan yang bukan keluaran Malaysia seperti kurma, epal terpaksa import kerana ada permintaan,” ujarnya.

Terdahulu beliau mengatakan lawatan ke ladang tembikai wangi sempena majlis kutipan hasil sebagai sokongan kementerian terhadap pengusaha dan penanam yang terlibat secara langsung mengeluarkan hasil buah-buahan dalam negara.- HARAKAHDAILY 19/4/2020

- Advertisement -