Ingkar PKP berbeza dari kecuaian terhadap SOP

Pkp
- Advertisement -

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). PKP dipatuhi dengan duduk di rumah masing-masing melainkan ketua keluarga dibenarkan keluar membeli keperluan mendesak seperti makanan.

PKP menyekat pergerakan rutin ke sana sini, menghadkan aktiviti keluar masuk pergi balik orang ramai, melainkan pihak-pihak yang diizinkan oleh pihak berkuasa, seperti pekerja sektor yang dikategorikan sebagai kritikal. Antaranya pekerja sektor kesihatan, utiliti, keselamatan, rantaian makanan, penghantaran dan lain-lain.

Termasuk pihak yang mendapat keizinan khas untuk laksanakan tanggungjawab pentadbiran – seperti Perdana Menteri, Menteri-menteri, Menteri Besar, Exco, dan pegawai-pegawai yang berkaitan dengan pemerintahan – dapat memastikan sektor-sektor penting dapat berjalan dalam masa yang sama PKP dapat dikuatkuasakan. Dengan demikian hal-hal yang menggugat kehidupan rakyat dan pentadbiran Kerajaan dapat diminimumkan.

- Advertisement -

Melanggar PKP adalah kesalahan di bawah Akta 342 dan boleh dikenakan tindakan, antaranya penjara dan denda.

Adakah pelanggaran PKP dengan melanggar SOP – memakai topeng muka, menjaga jarak 1 meter, tidak bersalam dan lain-lain – adalah kesalahan yang sama?

Tidak! PKP dan SOP adalah dua hal yang berbeza. Tidak timbul isu antara dua darjat, sana boleh – sini tak boleh, rakyat kena – pemimpin terlepas, double standard atau seumpamanya.

Melanggar SOP bagi pihak yang diizinkan keluar atas sebab-sebab yang benar dari segi undang-undang – makan bersama, bersalam, tidak pakai topeng muka, berada kurang daripada 1 meter antara satu sama lain – bukanlah satu kesalahan di bawah Akta 342, yang boleh didakwa di mahkamah, tetapi satu kecuaian yang boleh membahayakan.

Pihak yang tidak mendapat keizinan keluar yang sah daripada pihak berkuasa, jika didapati bergerak ke sana sini, berhimpun di luar kediaman, berkenduri kepala kambing, kenduri kahwin, merusuh, merempit beramai-ramai, melepak sambil berborak beramai-ramai dan seumpamanya, patutlah diambil tindakan di bawah Akta 342.

Isu di Perak itu, mereka adalah pihak yang dibenarkan keluar, melaksanakan kerja mereka dalam sektor yang penting dan kritikal. Pentadbiran Kerajaan dan kesihatan. Adapun mereka makan bersama itu dilihat satu kecuaian, melanggar SOP, bukan melanggar PKP.

Alasannya? Oleh kerana tidak ada kedai makan yang beroperasi di kawasan terbabit. Maka Pak Teh Razman (Exco Perak) memohon khidmat Maahad untuk memasak untuk hidangan tengahari. Pihak Timbalan Menteri yang tidak sempat makan sejak pagi, tentulah lapar bila sampai ketikanya. Maka mereka makan bersama di Maahad itu. Makan di Maahad, itulah cara mereka di situ menyedia masakan dan menjamu tetamu makan. Inilah pandangan saya.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR – HARAKAHDAILY 19/4/2020

- Advertisement -