Fitnah dalam konteks undang-undang di Malaysia

- Advertisement -

DALAM era globalisasi kini, kadangkala penulisan dan penuturan harian kita termasuk di media sosial mungkin terdedah kepada fitnah yang tidak disengajakan oleh penulis dan penutur.

Undang-undang kadangkala bersifat teknikal yang berbeza dari pemahaman norma biasa masyarakat.

Di Malaysia terdapatnya statut khusus untuk fitnah iaitu Akta Fitnah 1957.

Asas untuk sesuatu fitnah adalah perkataan (tidak benar) yang dituturkan mahupun yang ditulis. Tafsiran perkataan juga meliputi gambar, imej visual, isyarat, dan cara-cara lain untuk menyatakan maksud.

- Advertisement -

Dalam konteks undang-undang fitnah, perkataan tersebut hendaklah memenuhi kriteria utama berikut :

1) Perkataan itu merujuk kepada orang yang terkesan dengan pernyataan itu. Kadangkala walaupun tidak menyebut secara khusus orang itu, tetapi melalui ciri-ciri yang digambarkan itu, orang yang disampaikan secara semulajadi memahami ia merujuk kepada orang yang terkesan itu, masih berpeluang untuk dimasukkan ke dalam kategori ini (bergantung kepada fakta dan keadaan).

2) Perkataan itu berniat jahat yang bertujuan untuk menjejaskan reputasi orang yang terkesan itu. Jika dapat dibuktikan ia menjejaskan reputasi orang yang terkesan itu, niat jahat akan berkadaran secara terus.

3) Terdapatnya penyebaran perkataan itu kepada pihak ketiga.

Sekadar contoh (untuk menunjukkan kewujudan elemen-elemen di atas) :
O telah menulis di facebooknya bahawa Q adalah merupakan punca perceraian di antaranya dengan P. Sedangkan Q sekadar menasihatkan P prosedur untuk memohon perceraian setelah diminta nasihat oleh P.

Di dalam contoh di atas, Q adalah merupakan orang yang terkesan dengan pernyataan tersebut yang disiarkan untuk bacaan pengguna facebook yang mempunyai akses terhadap facebook O. Seorang pembaca yang munasabah di facebook tersebut (yang tidak mengetahui hal sebenar), akan memandang rendah kepada Q menyebabkan reputasi Q terjejas.

Perkataan tersebut bukan sekadar secara nyata, ia juga boleh secara kiasan. Namun untuk kategori kiasan, beban pembuktian adalah perlu menunjukkan ia dalam maksud semulajadi yang difahami oleh masyarakat. Oleh itu beban pembuktian adalah tinggi.

Apabila memenuhi elemen-elemen asas tersebut, anggapan awalnya, wujudnya fitnah.

Apabila elemen-elemen asas itu dipenuhi, beban untuk pembuktian sebaliknya (bahawa ia bukan fitnah) berpindah kepada orang yang menulis dan/atau menuturnya.

Terdapatnya beberapa pembelaan yang sering digunakan dalam kes-kes fitnah di mahkamah yang akan dicoretkan di dalam penulisan yang akan datang di lain masa.

Mohd Zamri Ibrahim
Ahli Jawatankuasa Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM)- HARAKAHDAILY 19/4/2020

- Advertisement -