Bubur lambuk untuk ‘frontliners’ Daerah Kerian

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Kebajikan para petugas barisan hadapan (frontliners) termasuk antara golongan yang sewajarnya diberi perhatian penuh dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol dengan kerjasama Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Bagan Serai telah menyediakan bubur lambuk yang diedarkan kepada petugas terbabit, hari ini.

ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria berkata, usaha bersama Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Bagan Serai, Ahmad Mohtar itu bertujuan memastikan kebajikan petugas kesihatan dan  keselamatan di Daerah Kerian dipelihara sebaiknya.

“Terima kasih kepada Jabatan Amal dan Ahli Jawatankuasa Pusat Khidmat yang turun padang membantu membuat edaran bubur lambuk dan air mineral pada hari ini.

“Alhamdulillah, semoga sumbangan kepada petugas yang menjaga lalu lintas serta petugas kesihatan di Hospital Parit Buntar (ini) sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka yang telah banyak berkorban demi negara,” jelas Razman.

Sementara itu, Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol turut menyelami denyut nadi rakyat dengan penyerahan bantuan makanan asas dan ikan segar percuma kepada penduduk kampung yang terjejas.

Ketika ditemuramah HarakahDaily, Pegawai Pusat Khidmat, Ahmad Rosman Razali berkata, pihaknya saban hari turun padang menyerahkan bantuan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

“Berikutan dana khas yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada Adun-adun Perak serta sumbangan ikhlas orang ramai, kita dapat sediakan barangan dan salurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

“Sememangnya, banyak keluarga dan pihak yang terkesan dengan PKP ini. Oleh hal sedemikian, (telah) menjadi tanggungjawab dan amanah kami untuk membantu (mereka) sehabis-baik,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 19/4/2020

- Advertisement -