PKP: Tiada siapa kebal undang-undang

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa boleh menyiasat dan mengambil tindakan kepada mana-mana menteri dan timbalan menteri jika didapati secara sengaja melanggar undang-undang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen), Dato’ Takiyuddin Hassan menegaskan, ini kerana undang-undang PKP tertakluk kepada semua pihak.

Katanya lagi, sama ada menteri mahupun timbalan menteri tidak kebal daripada tindakan undang-undang PKP.

“Semua orang tertakluk kepada undang-undang, termasuk menteri tak ada imuniti terhadap undang-undang ini.

“Kalau dikatakan sengaja dan terang-terang melanggar prosedur operasi standard (SOP), terpulang kepada penguat kuasa untuk ambil tindakan. Namun ia bergantung kepada kesalahan.

“Menteri bermesyuarat setiap hari mengenai isu-isu berkaitan Covid-19 dan setelah selesai mesyuarat, ada yang memerlukan (melakukan) tinjauan lanjut. Sebagai contoh seorang menteri datang ke satu tempat, ia melibatkan taklimat, melibatkan pandangan yang perlu diambil,” katanya.

Seperti dipetik dari Bernama, beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.- HARAKAHDAILY 18/4/2020