Kelantan laksana e-bazar ganti bazar Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan menyediakan e-bazar Ramadan bagi menggantikan bazar Ramadan yang tidak beroperasi pada tahun ini.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakub berkata, platform e-bazar tersebut disediakan bagi memudahkan kedua pihak, iaitu peniaga dan orang ramai bagi mendapatkan juadah untuk berbuka puasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi peniaga dan pembeli yang akan diumumkan kemudian.

“Kerajaan negeri akan membantu peniaga kecil menerusi e-bazar Ramadan. Keputusan itu telah diambil menerusi mesyuarat hari ini,” katanya pada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Keselamatan Negeri Khas Negeri Kelantan Bilangan 7 di Bilik Gerakan, Kota Darul naim, di sini hari ini.

Ahmad seterusnya memberitahu, e-bazar tersebut akan diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu ICT Gateway Sdn Berhad dengan kerjasama syarikat penghantar makanan OdaMakan.

Katanya, setiap jajahan yang mempunyai pusat pengumpulan makanan perlu melibatkan peniaga yang berdaftar menerusi borang secara atas talian disediakan syarikat tersebut.

Tambahnya lagi, sebanyak 40 pengusaha makanan dan peniaga sahaja dibenarkan di setiap jajahan bagi mengelak kesesakan atau menjadi tempat berhimpun.

Namun katanya, kerajaan bersedia untuk menambah jumlah pusat pengumpulan makanan sekiranya banyak permohonan daripada peniaga untuk menjual makanan mereka.

“Orang ramai boleh membuat tempahan makanan dalam talian sebelum jam 10.30 pagi. Makanan akan dihantar oleh syarikat penghantar bermula jam 3.30 petang hingga jam 6.30 petang.

“Pembeli tidak perlu datang ke pusat pengumpulan makan, syarikat penghantar makanan akan menghantar ke rumah masing-masing,” katanya.- HARAKAHDAILY 18/4/2020

- Advertisement -