Kejayaan kurangkan penularan Covid-19 perlu ditingkatkan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kerajaan meminta agar rakyat terus patuh dengan langkah pencegahan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan dalam fasa ketiga ini.

- Advertisement -

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pematuhan PKP ini menunjukkan perkembangan yang baik dan kadar penurunan jumlah positif Covid-19 juga berada ditahap baik.

Namun katanya ia masih tidak membolehkan rakyat untuk mengambil pendekatan bebas bergerak kemana sahaja kerana ia belum pada tahap sifar jangkitan lagi.

”Kalau kita telah nampak kejayaan daripada hasil PKP sepatutnya kita membantu kerajaan untuk memastikan sifar Covid-19 positif berdasarkan peraturan dan perintah kawalan yang diperkenalkan” katanya semasa sidang media di sini sebentar tadi.

Malah kata beliau, jika kes tersebut boleh berkurang dengan cara mengawal pergerakan seharusnya orang ramai tidak melakukan pergerakan bagi memastikan negara ini berada di tahap sifar jangkitan Covid-19.

Katanya jika ini dapat dilakukan akhirnya negara dapat menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Sebelum itu beliau berkata, seramai 1,565 individu telah ditahan kerana ingkar arahan pada hari ketiga PKP fasa ketiga semalam.

Sehubungan itu katanya, Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah jumlah sekatan jalan raya bagi memastikan kawalan dapat ditingkatkan menjelang awal Ramadan ini.

Mengulas mengenai Sidang Dewan Rakyat yang bakal diadakan dalam bulan Mei ini, beliau berkata ia akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet kelak. – HARAKAHDAILY 18/4/2020

- Advertisement -