Aliran tunai umpama aliran darah

- Advertisement -

GURU saya pernah sebut, ‘cash flow is the lifeblood of any business’ yang bermaksud aliran tunai ialah nyawa bagi mana-mana perniagaan. Disebabkan fokus kita kali ini hanya pada bajet individu, saya ubah ayat beliau. Saya kata, ‘Aliran tunai ibarat aliran darah dalam badan manusia’.

Darah mewakili lapan peratus daripada berat badan manusia. Darah sentiasa bergerak dan bertukar setiap hari tanpa kita sedar. Badan manusia bergantung sepenuhnya kepada darah. Anda sendiri tahu apa akan jadi kalau darah berkurang, berhenti atau dijangkiti virus COVID-19 sebagai contoh.

Bagi poket manusia pula, aliran tunai adalah perkara yang paling penting. Aliran tunai bermaksud aliran keluar masuk duit. Kalau darah keluar masuk melalui jantung, keluar masuk duit tunai pula sinonimnya melalui poket.

Maaf tetapi saya perlu sebut. Dalam fasa PKP ini, anda sendiri tahu kesannya apabila anda hilang kerja dan duit tunai terhenti. Anda sendiri tahu kesannya apabila majikan kurangkan gaji dan duit tunai pun berkurang. Rasanya macam darah seluruh badan berhenti atau berkurang secara mendadak.

- Advertisement -

Anda juga tahu kesannya apabila Kerajaan umumkan belanjawan khas baru-baru ini. Duit tunai tiba-tiba muncul dan ada juga yang duitnya bertambah. Diri terasa seolah-olah kembali bernyawa apabila darah mula merayap ke setiap inci tubuh badan.

Namun di situ ada sikit perbezaan sistem kewangan dengan sistem tubuh badan manusia. Badan manusia boleh bertahan dan tidak mati untuk tempoh beberapa lama dengan tenaga (saya baca ‘darah’) yang ada dalam badan manusia. Tetapi sistem kewangan tidak begitu.

Sistem kewangan perlukan aliran duit tunai daripada luar (orang lain) untuk ia bertahan apatah lagi untuk ‘hidup’. Hampir mustahil untuk bayangkan anda yang membuat duit kertas, anda yang menanam padi dan anda juga yang menjual dan membeli beras menggunakan duit kertas tadi.

Ini hanya lontaran idea. Abaikan jika anda tidak faham. Point penting saya dalam sembang kali ini ialah tindakan. Baik, perhatikan gambar manusia berbadan kotak di bawah. Itu saya panggil ‘akaun bajet’. Aliran tunai melibatkan dua kotak paling atas dalam ‘akaun bajet’.

Anda hendak tahu aliran tunai anda? Jom buat kira-kira mudah. Anda hanya perlu ada ilmu tambah tolak, sehelai kertas dan sebatang pen. Ikuti langkah-langkah berikut:

(1) Kenang kembali apa yang berlaku kepada duit anda bulan lepas. Walaupun mungkin pahit untuk dikenang, ini ialah peringkat yang paling kritikal dalam kewangan.
(2) Tulis (atau taip) tujuan anda keluarkan duit pada bulan lepas. Item tak perlu detail. Cukup dengan tulis ‘makanan’ untuk belanja sarapan, tengah hari, makan malam dan sebagainya. Item ‘lain-lain’ selalunya berguna pada tujuan yang remeh atau tidak dapat dikenalpasti.
(3) Tulis (atau taip) angka bagi setiap item duit keluar. Jika tidak ingat secara tepat, tulis saja angkanya secara kasar. Di sini kejujuran sangat penting.
(4) Jumlahkan semua item duit keluar.
(5) Tulis (atau taip) sumber duit masuk pada bulan lepas. Item di sini juga tak perlu detail. Cukup dengan tulis ‘gaji’, ‘pinjam’ dan sebagainya. Item ‘lain-lain’ juga sesuai jika anda selalu dapat rezeki yang tak disangka.
(6) Tulis (atau taip) angka bagi setiap item duit masuk. Jika tidak ingat secara tepat, tulis saja angkanya secara kasar.
(7) Jumlahkan semua item duit masuk.
(8) Tolak jumlah duit masuk dengan jumlah duit keluar.

Anda akan dapat tiga jenis jawapan. Sama ada baki anda ialah angka positif (ada duit lebih), angka negatif (duit keluar lebih banyak dari duit masuk) atau angka kosong (tak ada duit lebih atau pun disebut sebagai ‘ngam-ngam’).

Apa pun jawapan anda, tahniah! Menurut istilah orang biasa, ini ialah bajet. Kajian Bank Negara Malaysia menunjukkan 76 peratus rakyat Malaysia ada mempunyai bajet.

Anda pernah dengar Rasulullah sendiri pernah buat bajet? Ya, malah bajet Rasulullah ialah bajet tahunan. Bukan lagi setakat kira-kira bulanan. Saya tinggalkan anda dengan petikan Hadis itu:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَبِيعُ نَخْلَ بَنِي النَّضِيرِ وَيَحْبِسُ لِأَهْلِهِ قُوتَ سَنَتِهِمْ

“Rasulullah menjual ladang kurma beliau yang asalnya dimiliki oleh Bani Nadhir. Kemudian beliau menyimpan perbelanjaan setahun untuk ahli keluarganya.

(Hadis Sahih, direkod oleh Imam al-Bukhari: 5065)

HASNAN AB – HARAKAHDAILY 18/4/2020

* Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -