Ujian KAFA dibatalkan di seluruh negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi subjek bertulis yang dijadualkan pada 28 September hingga 1 Oktober depan di seluruh negara dibatalkan.

Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan terbabit adalah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid terjamin daripada pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Keputusan ini juga katanya, selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah membatalkan dan menangguhkan semua peperiksaan umum peringkat sekolah rendah sekolah menengah ke tahun 2021.

Sehingga itu tambah Zulkifli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan pembukaan sesi persekolahan KAFA di seluruh negara hanya akan dibuka mengikut ketetapan KPM.

“Pembatalan UPKK tidak akan menjejaskan penilaian terhadap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan KAFA bermula tahun satu sehingga tahun enam, di peringkat rendah.

“Kemenjadian murid dalam pendidikan KAFA boleh dinilai dalam pelbagai kaedah, justeru bagi tujuan ini JAKIM akan menetapkan satu kaedah taksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis tersebut.

“Semoga maklumat yang kita dapat ini akan melegakan perasaan ibu bapa,” ujarnya dalam satu sidang media tengah hari tadi.

Terdahulu, susulan penularan wabak Covid-19 KPM mengumumkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk tahun ini dibatalkan.

Manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk tahun ini ditangguhkan.

SPM dan SVM akan dianjakkan ke satu tarikh di suku pertama tahun 2021, bagi STPM peperiksaan semester kedua dijadualkan pada Ogos depan dan semester tiga dan STAM akan diadakan pada suku pertama tahun 2021.

Pengumuman terbabit dibuat oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Radzi Md Jidin pada sidang media, 15 April lepas.- HARAKAHDAILY 17/4/2020

- Advertisement -