Sophism: Sejarah dan hipokrit

- Advertisement -


SEJARAH

(1) Kita boleh mengenal seseorang dan menduga tindakan yang akan dibuat melalui kajian terhadap pemikiran seseorang itu. Ya, setiap orang terikat dengan akalnya. Akal itu teracuan dengan ‘cara berfikir’.

Cara berfikir inilah yang dikaji sejak ribuan tahun. Bukannya untuk mengenal seseorang, tetapi untuk menentukan kebenaran. Hal ini telah kita nyatakan dalam beberapa artikel lepas.

(2) Bahkan ilmu mantik yang dipelajari secara meluas pada hari ini pun telah disusun oleh ahli falsafah era Yunani. Antaranya fahaman Socrates yang terkenal dengan Rasionalism.

Jika kita lihat situasi keadaan zaman Socrates, beliau berhadapan dengan kelompok Sophisme. Sophis asalnya bermaksud kebijaksanaan, dan merujuk kepada guru-guru yang mengajar falsafah.

- Advertisement -

(3) Kemudian kelompok ini mula dipengaruhi oleh Protagoras. Protagoras merupakan ‘rakan sekelas’ ketika mereka menuntut dengan Anaxagoras. Sehingga menyebabkan istilah ‘Sophis’ itu menjadi buruk.

Lalu Socrates mengasaskan fahaman Rasionalism bagi berhadapan dengan mereka, berasaskan disiplin ilmu yang hari ini dikenali sebagai ilmu mantik. Bahasa mudahnya, ilmu mantik itu bertujuan untuk mempertahankan kebenaran.

(4) Socrates cuba mempertahankan kebenaran daripada diseleweng oleh aliran Sophism. Situasi pertembungan ini terjadi pada ketika itu, dan boleh jadi ia berulang. Iaitu apabila munculnya golongan neo-Sophism.

Iaitu kelompok yang berhujah bukan untuk mencari kebenaran, tetapi menyuburkan kekeliruan. Kelompok yang beraliran ini semakin subur pada hari ini dengan hujah-hujah yang ke laut.

Sophisme dan keraguan

(1) Golongan Sophism tiada hujah, tetapi mereka boleh kenyang dengan meragukan orang. Untuk meragukan orang, mereka perlu meragukan diri sendiri terlebih dahulu.

Al-Quran yang diturunkan pada zaman Nabi Muhammad S.A.W sarat dengan hujah-hujah akal. Perangai orang-orang Sophism yang bermanhajkan keraguan dijawab oleh Allah S.W.T.

Contohnya dalam Surah al-Hajj ayat 5 menggambarkan bahawa mereka yang meragui hari kebangkitan, maka Allah S.W.T datangkan hujah dengan menyuruh mereka meneliti penciptaan manusia.

(2) Justeru, acuan atau cara mereka berfikir terikat dengan dimensi keraguan. Berbeza dengan Socrates yang meletakkan tujuan penelitiannya untuk mendapatkan keyakinan.

Ini kerana menurut Socrates dan alirannya, bahawa manusia itu diciptakan untuk bahagia. Kebahagiaan itu adalah epistemologi yang berada di tahap yakin.

(3) Mereka yang hidup dalam keadaan tidak yakin, akan mengalami kerunsingan. Pendekatan Socrates ini berbeza dengan aliran Sophisme yang melihat bahawa kebahagiaan itu dengan melontarkan keraguan.

Atau bahasa mudahnya, jika seseorang itu ‘berjaya’ meragui sesuatu, ia adalah satu kepuasan. Mereka meletakkan keraguan itu sebagai matlamat tertinggi.

(4) Justeru, pada zaman ini hangatnya ilmu perdebatan الجدل secara bermanhaj, dan menjadi warisan. Semata-mata untuk berpegang dengan kebenaran dengan cara berfikir.

Menunggang agama

(1) Plato pernah menyatakan bahawa Sophis ini seperti ‘pekedai yang menjual barang-barang spiritual (kepercayaan)’ atau bahasa mudahnya disebut sebagai menunggang agama.

Sophism juga dikaitkan dengan hujah-hujah yang tahyul, tidak berpijak di alam realiti. Penghujahan yang tidak berdisiplin, tidak bermethod, bertopeng, dan macam-macam lagi.

(2) Bahkan ada yang mengatakan bahawa golongan Sophism mengajar di merata tempat hanya untuk mendapat imbalan, atau bahasa mudahnya sekadar nak kejar sampul.

Perangai-perangai ini sudah pasti merosakkan imej golongan cedekiawan zaman itu. Menyebabkan aliran Socrates perlu memperbetulkan keadaan dengan menentang mereka secara hujah.

(3) Protagoras berpendapat bahawa ‘manusia adalah segala-galanya’. Semua benda adalah objektif dan relatif. Menggambarkan bahawa tiada kebenaran yang paling tepat.

Bahasa mudahnya, mereka mengatakan bahawa kebenaran itu berbeza mengikut orang. Jelas berbeza dengan aliran Socrates yang yakin dengan kebenaran yang satu.

(4) Kewujudan aliran Sophism menyebabkan manusia terkeliru terhadap kebenaran. Masing-masing wajar ‘beriman’ dengan apa yang dirasakan betul, tanpa bersandar kepada hujah-hujah yang konkrit.

Fahaman ini menjadikan masyarakat malas berfikir, cukup sekadar ikut apa yang diinginkan. Masing-masing merasakan diri sendiri betul, dan mesti diberi kebebasan untuk memilih jalan sendiri.

Neo-Liberalism VS Liberal Klasik

(1) Fahaman ini diwarisi pada hari ini tanpa sedar. Antaranya method Sophism ini banyak juga digunakan oleh Orientalism, untuk menggoyangkan keyakinan Umat Islam terhadap al-Quran dan Hadis.

Ia juga digunakan dalam dimensi politik. Biasanya Sidang Parlimen atau DUN dijadikan tempat untuk melahirkan keputusan yang masak untuk pentadbiran sesebuah negara.

Tetapi pada hari ini, kedua-dua persidangan itu lebih kepada ingin menimbulkan keraguan yang tidak berpijak kepada hujah. Sekadar untuk timbulkan keraguan, kemudian selesai.

(2) Sama juga dengan kelompok neo-Liberalism yang hujah cara sengal. Beberapa point mengenai ayat-ayat yang biasa didengari daripada mereka ialah;

(a) Kebenaran adalah relatif.
(b) Kebenaran adalah universal.
(c) Tiada kebenaran yang hakiki.
(d) Moral dan etika juga relatif.

Banyak lagi. Cuma beberapa point di sini kita boleh faham bahawa ‘pertembungan’ antara Liberal Klasik dan neo-Liberalism pada hari ini dilihat agak mengikut acuan Sophisme.

(3) Liberal Klasik pula mengatakan bahawa setiap orang bebas. Bebas segalanya. Iaitu bebas tanpa sempadan yang mengikat. Ini teori mereka apabila mereka merasa terkurung.

Namun, apabila mereka memerintah, mereka akan bertindak ‘seperti’ seorang Autoritarian yang ‘mengurung’ rakyat. Sepertimana juga yang diterjemahkan oleh neo-Liberalism.

Sophism dan hipokrit

(1) Kita tidak nafikan, bahawa neo-Liberalism lebih banyak membincangkan bab kebebasan ekonomi. Namun, kita perlu fahami rangka-rangkanya yang berkaitan dengan ‘perangai Sophism’.

Neo-Liberalism mewajibkan orang supaya tunduk kepada moral. Walaupun mereka mengatakan bahawa moral itu adalah nombor satu. Akan tetapi mereka menyekat orang, dan mereka bertindak luar moral.

(2) Saya bukanlah berniat untuk mencerita detail mengenai neo-Liberalism atau Liberal Klasik. Yang ingin saya ceritakan ialah bagaimana ‘perangai’ Sophisme yang berhujah dengan celaru.

(3) Neo-Liberalism masih mengekalkan kebebasan, tetapi kebebasan yang terikat. Berbeza dengan Liberal Klasik. Justeru, apabila mereka menjadi rakyat, mereka mengangkat Liberal Klasik.

Mereka mengeluarkan hujah-hujah yang penuh falasi. Namun, apabila sudah memerintah, mereka cuba beralih kepada topeng neo-Liberalism, dan mengeluarkan hujah-hujah yang sama falasinya.

(a) Contohnya mereka ‘mengajak’ kepada Pluralism antara agama. Mereka menjerit-jerit supaya agama-agama perlu disama-ratakan. Tetapi apabila mereka memerintah, mereka menindas hak kebebasan orang Islam.

(b) Adakalanya mereka ‘bersembang’ bab moral, tetapi mereka sendiri melanggar moral. Mereka sembang bab kebebasan berpakaian, tetapi apabila muncul perkataan ‘tudung’ terus dilabel rasis.

(4) Gambaran-gambaran ini menampakkan bahawa mereka itu adalah Sophism. Tiada hujah dan tiada method pemikiran yang berasas. Sebab itulah neo-Liberalism dikenali sebagai ‘anti-Rasionalism’ sebagaimana golongan Sophism.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 17/4/2020

- Advertisement -