Bayaran BPN: RM4.8 bilion telah disalurkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memaklumkan bahawa telah menyalurkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada 6.5 juta penerima bagi golongan berpendapatan rendah (B40), melibatkan bayaran melebihi RM4.8 bilion.

Namun begitu, Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan menyatakan masih terdapat sebahagian kecil penerima B40 yang telah lulus BPN tetapi belum menerima pembayaran berkenaan kerana tidak mempunyai akaun bank atau bayarannya gagal dikreditkan ke dalam akuan mereka.

Sehubungan itu pihak MoF meminta penerima berkenaan boleh menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 April 2020 (hari ini) sehingga 31 Disember 2020.

- Advertisement -

Bagaimanapun, penerima boleh melayari laman web BSN di www.mybsn.com.my untuk mendapatkan senarai cawangan yang dibuka atau sebarang maklumat lanjut yang berkaitan.

Dalam pada itu, penerima yang ke cawangan BSN dinasihati membawa kad pengenalan masing-masing dan dinasihati agar mematuhi penjarakan sosial serta arahan kesihatan dan keselamatan dari anggota Polis dan RELA yang bertugas.

Menurut MoF, inisiatif ini adalah hasil dari langkah PRIHATIN di bawah matlumat Lindungi Rakyat, bagi memastikan kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada masyarakat B40 yang amat memerlukannya, terutamanya dengan penyambungan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020.

“Kerajaan berharap agar bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kehidupan golongan yang disasarkan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.- HARAKAHDAILY 17/4/2020

- Advertisement -