Wakil rakyat, NGO bantu komuniti Rohingya

Komuniti Rohingya di Kelantan turut mendapat perhatian ADUN dan NGO dengan memberi bantuan barangan keperluan harian.
- Advertisement -

PASIR PUTEH: Komuniti Rohingya yang tinggal di Kelantan turut mendapat perhatian wakil rakyat bagi membantu mereka yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Hari ini seramai 107 keluarga Rohingya yang tinggal di Pasir Puteh menerima keperluan harian disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Ustaz Mohd Nazlan Mohd Hasbullah.

- Advertisement -

Timbalan Presiden II NGO Cakna Palestin, Abdul Shakur Sharrie berkata, keluarga Rohingya terbabit merupakan pemegang kad The United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR).

“Mereka merupakan pelarian yang mendapat perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya di sini.

Program penyampaian sumbangan itu diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Limbongan.

Program terbabit diadakan dengan kerjasama NGO Misi Kembara Dakwah. Manakala petang ini program serupa akan diadakan di Tanah Merah dengan terdapat 80 keluarga Rohingya yang tinggal di jajahan itu.– HARAKAHDAILY 16/4/2020

- Advertisement -