Pelancaran Jabatan PAS Luar Negara

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH pada tanggal 11 April 2020 yang lalu, Jabatan PAS Luar Negara secara rasminya telah dilancarkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara online melalui program usrah bulanan dengan ahli – ahli PAS yang berada di luar negara.

- Advertisement -

Sebenarnya sejarah penglibatan rakyat Malaysia yang berada di luar negara dengan PAS telah lama bermula terutamanya sejak dari awal penubuhannya lagi.

Mengikut sejarah perkembangan awal PAS di luar negara, cabang pertama PAS di luar negara bermula di Mekah yang ditubuhkan oleh rakyat Malaysia yang menuntut ilmu dengan alim ulama di sekitar tanah suci Mekah pada tahun 1954 yang diketuai oleh Ustaz Mustafa Afifi.

Seterusnya PAS turut melebarkan pengaruhnya di Timur Tengah seperti di Mesir, Iraq dan beberapa negara lagi bermula dengan pelajar – pelajar yang menuntut ilmu di luar negara mahupun rakyat Malaysia berkerja di luar negara.

Kemudian usaha tersebut terus berkembang apabila ahli – ahli PAS menubuhkan kelab – kelab PAS di Eropah seperti di United Kingdom dan Ireland.

Untuk mendekatkan PAS dan ahlinya yang berada di luar negara terutamanya ketika PAS menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perikatan Nasional, maka PAS menubuhkan Jabatan PAS Luar Negara supaya setiap ahli mendapat maklumat terkini dan tepat terutamanya mengenai PAS, kerajaan, dasar serta polisi terkini Kerajaan Perikatan Nasional.

Semoga dengan penubuhan Jabatan PAS Luar Negara, PAS dapat memanfaatkan jaringan sedia ada untuk memperkasakan lagi hubungan di antara ahli PAS yang berada di luar negara dan juga sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat tepat berkenaan keadaan terkini negara dan kerajaan.

Insyallah, semoga usaha ini mampu memberi manfaat untuk ahli – ahli PAS yang berada di luar negara seterusnya mampu melonjakkan imej dan kredibiliti PAS di mata dunia.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/4/2020

- Advertisement -