Keputusan Kementerian Pendidikan tepat

- Advertisement -

SEMUA warga kluster institusi pendidikan di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ataupun institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengannya, ternanti-nantikan kenyataan Menteri Pendidikan mengenai hala tuju pendidikan negara sepanjang wabak COVID-19 ini melanda.

Kenyataan daripada Menteri berkenaan amat penting kerana ia sangat membantu pihak institusi pendidikan seperti para pengelola sekolah, pendidik dan guru merangka program-program pengajaran dan pembelajaran tertentu bagi memastikan anak-anak dapat terus belajar dengan efektif dan berkesan.

Lajnah Pendidikan PAS Pusat menyokong penuh keputusan KPM menangguhkan tempoh pengajian sehingga keadaan persekitaran sekolah benar-benar selamat daripada ancaman virus COVID-19 kecuali bagi peperiksaan utama seperti SPM, SVM, STPM dan STAM di mana jadual peperiksaan tersebut diinjak hingga ke suku pertama tahun 2021.

- Advertisement -

Begitu juga dengan keputusan untuk meniadakan ujian PT3 dan UPSR, ia juga sesuatu yang wajar dan tepat kerana dilihat selaras dengan kemaslahatan anak-anak di sekolah yang berisiko dengan penularan wabak COVID-19 gelombang kedua ini.

Sehubungan dengan itu, pihak KPM hendaklah menyediakan satu mekanisme khas bagi menentukan keupayaan seseorang murid Tahun 6 yang akan menyambung ke sekolah-sekolah menengah tertentu atau saringan pemilihan aliran sama ada ke jurusan sains mahupun sastera di Tingkatan 4 tahun 2021 kelak.

Tenaga pakar dan berpengalaman dalam bidang pendidikan kurikulum, ko-kurikulum, vokasional dan kaunseling perlu bersemuka serta berbincang supaya natijah yang diperolehi dapat memenuhi aspirasi falsafah pendidikan negara.

Begitu juga penglibatan badan-badan bukan kerajaan seperti NUTP atau mana-mana pertubuhan yang terlibat secara langsung perlu menggembleng tenaga dalam menghadapi suasana getir ini.

Dalam pada itu, Lajnah Pendidikan PAS juga ingin menyarankan Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar dapat mengeluarkan satu keterangan rasmi mengenai peperiksaan tahunan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2020 serta pelaksanaan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Tinggi Agama (STA) yang berada di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri-negeri.

Ini kerana sijil-sijil agama berkenaan adalah penting kerana ia merupakan penanda aras kefahaman anak-anak mengenai silibus pengajian agama yang ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Islam berkenaan.

Justeru, Lajnah Pendidikan PAS Pusat sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada KPM kerana dapat memberikan respons yang baik terutamanya tindakan dan keputusan pantas sewaktu wabak COVID-19 mula mengganas.

Begitu juga respons berkenaan persediaan-persediaan tertentu sewaktu pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas institusi pendidikan serta warga pendidik apabila perintah ini tamat nanti.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kedah – HARAKAHDAILY 16/4/2020

- Advertisement -