Bajet Fasa COVID-19: Tentukan ‘agama poket’

- Advertisement -

‘BAJET’ dalam istilah Bahasa Melayu bermaksud belanjawan atau mengawal sesuatu dengan hati-hati. Itu yang saya maksudkan dan ia dalam skop bajet individu. Bukan bajet Kerajaan.

Baru-baru ini dilaporkan hasil kajian Jabatan Perangkaan Malaysia fasa COVID-19. Majoriti pekerja swasta mempunyai dua bulan duit simpanan. Manakala majoriti individu yang bekerja sendiri hanya mempunyai duit simpanan kurang dari satu bulan.

Walaupun kakitangan awam dikecualikan daripada kajian itu, Bank Negara Malaysia tahun 2019 melaporkan 85 peratus daripada gaji majoriti kakitangan awam digunakan untuk membayar balik hutang dan keperluan asas. Baki 15 peratus untuk keperluan lain dan simpanan (jika ada lebihan).

Memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan, saya fikir ini adalah masa yang paling sesuai untuk kita muhasabah soal kewangan masing-masing. Untuk berubah bukan mudah. Kadang-kadang pengalaman buruk dalam hidup yang menyebabkan kita berubah.

Di sini saya akan berkongsi formula kewangan yang telah saya mudahkan dan sesuaikan dengan budaya Malaysia. Anda tidak perlu ada ijazah untuk berjaya dalam kewangan. Cukup sekadar ada ilmu tambah, tolak, bahagi dan darab.

- Advertisement -

Anda juga tidak perlu catatan berjela-jela. Anda hanya perlu sehelai kertas dan bayangkan diri anda seperti manusia berkotak empat di bawah. Sembang kita sepanjang tulisan saya hanya berkisar empat kotak ini sahaja. Nampak mudah tetapi impaknya besar.

Empat kotak ini akan membawa kita kepada soal simpanan, gaji, belanja dapur, belanja anak, hutang rumah, hutang kereta, hutang peribadi, KWSP, zakat, cukai, pelaburan hatta karier masa depan. Kalau ada yang kata ‘bajet’ hanya perlu dua kotak sahaja, saya hormat pendapatnya. Itu mazhab dia. Ini mazhab saya.

Sebelum saya lanjutkan bicara, saya suka menarik perhatian anda kepada ‘agama’ kewangan. Maksud saya, anda perlu tentukan panduan agama mana yang anda mahu ikut sepanjang bicara kita mengenai kewangan. Mudahkan cerita, panduan agama Islam atau panduan bukan-Islam?

Ini topik paling asas. Jika anda cuba mengelak daripada menjawab soalan ini, sembang kita selepas ini hanya akan menambah konflik demi konflik. Jika saya sebut ‘ini haram’, saudara pasti melenting sebab saudara tak ada perkiraan dosa pahala. Saya sebut pahala, sedangkan pertimbangan anda hanya untung di dunia.

Atas dasar keyakinan, saya hanya berminat untuk ikut panduan Islam dalam soal kewangan. Atas dasar itu, saya merancang kewangan dan saya yakin ada pahala ketika merancang. Walau pun saya mati sebelum tercapai matlamat kewangan.

Begitu juga sebaliknya. Jika saya merancang untuk menghalalkan yang haram demi mencapai matlamat kewangan yang diimpikan, saya yakin ada dosa yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Sekali pun saya mati sebelum sempat menikmati habuan itu.

Saya tinggalkan anda dengan petikan firman Allah dan sabda Rasulullah:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا (49)

“Dan ‘Kitab-kitab Amal’ akan dibentangkan. Maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: “Aduhai celakanya kami! Mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak tinggalkan yang kecil atau yang besar melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu tersedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

(al-Kahfi: 46)

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ

“Tidak berganjak kaki manusia di hari kiamat nanti kecuali setelah disoal (mengenai empat perkara): Mengenai masanya, mengenai ilmunya, mengenai hartanya, dan mengenai tubuh badannya.”

(Hadis Hasan, direkod oleh Imam al-Tirmizi: 2417)

HASNAN AB – HARAKAHDAILY 16/4/2020

*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -