Waspadalah dalam meraih simpati untuk diri

- Advertisement -

SAYA terpanggil untuk berkongsi sedikit cerita dalam senario pengagihan bantuan dan sumbangan dalam tempoh COVID-19 ataupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terlebih dahulu saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak sama ada NGO atau orang perseorangan yang turut sama membantu, lebih-lebih lagi yang prihatin dengan rakyat saya di kawasan DUN Tendong.

Apa yang ingin saya katakan ialah ada sesetengah pihak yang datang membantu kemudian memasukkan status ke dalam fb dengan pelbagai tajuk dan cerita mengenai situasi orang yang dibantu. Saya tidak salahkan mereka-mereka yang memasukkan cerita itu ke fb sebab mungkin mereka juga mengambil cerita dari keluarga yang dibantu itu.

- Advertisement -

Cuma teguran saya ialah, jika benarlah kita ingin mengambil simpati orang ramai tapi janganlah keterlaluan sangat.

Sebenarnya saya amat sedih dengan cerita-cerita yang keluar dari fb mengenai situasi mereka-mereka yang dibantu. Terlalu keterlaluan sangat. Sebagai contoh;

“Keluarga makan nasi tidak berlauk selama 5 hari”

“Keluarga kebuluran dalam tempoh PKP kerana tidak ada makanan”

“Keluarga hidup hanya dengan memakan biskut sahaja kerana tiada beras untuk dimasak”

“Keluarga makan nasi berlaukkan budu sahaja”

Dan lain-lain.

Ini antara contoh isi cerita yang disampaikan oleh pihak-pihak yang datang menghulurkan bantuan di media sosial terutama di fb. (Status begini pula diprintscreen dan diviralkan oleh orang lain untuk sebaran)

Sebenarnya saya hargai setiap sumbangan yang dihulurkan terutama untuk warga dalam DUN Tendong, tetapi saya amat kecewa dan sedih dengan cerita-cerita seumpama ini diviralkan di media sosial.

Saya walaupun selaku Wakil Rakyat memanglah tidak sempurna dan memang banyak kelemahan. Namun secara umumnya saya telah cuba buat yang terbaik untuk rakyat saya.

Sebab itu saya kecewa dan sedih dengan posting-posting yang agak keterlaluan dalam mencari simpati orang ramai. Saya berani tegaskan bahawa rakyat saya tidak ada yang susah sehingga kebuluran atau makan hanya berbekalkan biskut sahaja.

Dan jika ada-lah kesusahan atau masalah rakyat sekalipun tiap kali maklumat sampai kepada saya tindakan akan saya lakukan. Maknanya tidak akan sampai ke tahap kebuluran atau seumpamanya.

Akhirnya, saya menyeru kepada penyumbang-penyumbang agar teruskanlah dengan kerja mulia dan murni untuk membantu dan hulurkan sumbangan. Tetapi biarlah berpada-pada dalam bercerita di fb jika hanya sekadar meraih simpati.

YB ROZI MUHAMAD
ADUN Tendong – HARAKAHDAILY 15/4/2020

- Advertisement -