Pembudayaan ilmu

- Advertisement -

TAMADUN dunia yang mencorak perubahan semasa adalah berasaskan budaya ilmu yang subur dalam sesebuah masyarakat. Mana-mana kuasa dunia yang berobjektifkan ketenteraan atau kekuatan fizikal hampir tidak ada yang bertahan lama sekalipun menguasai sebahagian besar dunia seumpama Kerajaan Mongol.

Tamadun Yunani merupakan suatu perkembangan yang paling banyak meninggalkan kesan terhadap dunia pada hari ini, terutama pihak Eropah (baca Barat). Hari ini boleh dikatakan mana-mana pembudayaan ilmu pasti tidak akan lari daripada menggazetkan tokoh Yunani terutama Plato, Socrates dan Aristotle.

Umat Islam tidak sepatutnya tertinggal dalam menekuni budaya keilmuan yang datang dari mereka bahkan dari sesiapa pun. Cuma perlulah memiliki kefahaman agama yang baik supaya kita mengetahui batasannya dan tidak terikut arus semasa tanpa ketahuan.

- Advertisement -

Tamadun Islam juga memiliki suatu asas yang ampuh, yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana tamadun di dunia. Cuma, mengapa kita ketinggalan?

Profesor Wan Nor Wan Daud, menyebutkan 7 indikator pembudayaan ilmu bagi sesebuah masyarakat yang boleh kita fikirkan dan hayati bersama iaitu:

Ciri-ciri pembudayaan Ilmu:

(1) Penglibatan setiap ahli masyarakat di dalam kegiatan keilmuan.

(2) Tindakan manusia baik secara individu mahu pun di peringkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahu pun syura.

(3) Ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat.

(4) Individu dan institusi berpengaruh dalam masyarakat akan memberi keutamaan, bantuan, kemudahan, dan pengiktirafan yang tinggi kepada mana-mana pihak yang melibatkan diri di dalam usaha mencari dan menyebarkan ilmu pengetahuan.

(5) Dalam diri dan masyarakat, tidak akan mengiktiraf sifat jahil, bebal dan anti ilmu.

(6) Dalam diri dan masyarakat yang berbudaya ilmu, akan menolak dan membenci pandangan, pernyataan, serta amalan yang tidak berasaskan ilmu dan kebenaran.

(7) Budaya ilmu bukan sekadar kesungguhan memahami, mendalami dan menghayati sesuatu bidang ilmu tetapi lebih penting juga mampu menjelmakan sifat keilmuan dalam pelbagai bidang (multi-disciplinary) dan merentas bidang (inter-disciplinary) agar pemaduan ilmu dapat mewujudkan kepaduan diri dan masyarakat.

Manakala ciri-ciri bebal atau diistilahkan sebagai Bebalisme pula:

(1) Tidak mampu mengenali masalah.

(2) Jika diberitahu, tidak mampu selesaikan.

(3) Tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan, malah tidak memiliki kemahiran belajar.

(4) Tidak mengaku kebebalannya.

(5) Tidak boleh menghubungkaitkan sesuatu dalam konteks ruang waktu dengan faktor lain.

(6) Hanya reflex pada suasana sementara tetapi tidak memikirkan akibat jangka panjang.

(7) Berfikir hanya melalui sebab terhad dan tidak melalui urutan sebab akibat.

(8) Terpenjara dengan tabiat sendiri tanpa berfikir kritis mengenai asas pemikirannya.

(9) Tidak berfikir dengan mendalam.

(10) Tidak konsisten.

(11) Tidak mempunyai tenaga akal dan hanya menurut apa yang mudah.

(12) Tidak berupaya berbicara dengan abstraksi yang tinggi tanpa menentang hakikat.

Terima kasih buat yang sudi menghadiahkan siri buku yang bermanfaat ini. Moga Allah rahmati dan murahkan rezekimu sahabat. Terharu dan bersyukur, Muhammad Munziri Ali.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
15 April 2020 – HARAKAHDAILY 15/4/2020

- Advertisement -