Jalur Empirisism dan imbangan Islam

- Advertisement -

AL-QURAN dan pemikiran

(1) Di dalam al-Quran sangat sarat dengan dalil-dalil yang menyuruh manusia berfikir, mencari pengalaman, meneliti dan banyak lagi. Akal perlu digunakan untuk memahami isi al-Quran.

Al-Quran tidak mungkin difahami dengan andaian yang tidak berpijak di atas hujah. Al-Quran itu sendiri menjadi hujah untuk mengenal dan memahami kebenaran.

(2) Mereka yang tidak menggunakan akal di dalam memahami dan mengkaji al-Quran, kerap kali gagal untuk menentukan kebenaran. Hal inilah yang menjadi perbincangan panas satu ketika dahulu.

Iaitu perbincangan ketika zaman Falsafah Yunani, yang muncul sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Mereka berbincang mengenai bagaimana nak menentukan kebenaran.

Lalu wujudlah pelbagai teori pemikiran yang berselirat yang dikemukakan oleh mereka, iaitu sekitar perbincangan mengenai logik, epistemologi dan sebagainya.

- Advertisement -

(3) Socrates terkenal dengan Rasionalismnya. Plato yang merupakan murid Socrates terkenal dengan idealismnya. Manakala Aristotle anak murid Plato terkenal dengan Realismnya.

Selepas era tersebut, munculnya aliran sekolah-sekolah pemikiran. Ada yang ‘mencetak’ ideologi Plato. Ada yang meneruskan ideologi Aristotle dan bermacam-macam lagi alirannya.

Antara sekolah yang masyhur ketika itu ialah Epikuranism dan Stoicism. Kedua-dua sekolah ini telah mewujudkan penafsiran falsafah dalam dimensi baru.

Aristotle, Realism dan Empirisism

(1) Sepertimana yang pernah saya tulis sebelum ini [1], banyak pandangan Aristotle yang berbeza dengan Plato, yang merupakan gurunya. Dalam banyak bab seperti bab seni (artis), bab kenegaraan dan banyak lagi.

Antara yang turut berbeza ialah Realism Aristotle dan Idealism Plato. Realism yang digagaskan oleh Aristotle sangat berbeza dengan Plato, bahkan pernah terjadinya pertembungan yang besar.

(2) Aristotle berpendapat bahawa epistemologi itu diperolehi melalui pancaindera atau dengan bahasa mudahnya pengalaman. Berbeza dengan idealism Plato yang bersandarkan kepada pemikiran.

Hasil daripada pemikiran Aristotle, lahirlah pemikiran Empirisisme yang tidak muncul di era Yunani. Akan tetapi muncul di era Reinassance sekitar 1700 tahun selepasnya.

(3) Empirisism diasaskan oleh Francis Bacon (1531-1626). Kemudian dikembangkan oleh Thomas Hobbes (1588-1679). Diteruskan lagi oleh John Locke (1632-1704), dan kemudiannya David Hume (1711-1776).

‘Sanad’ Empirisism ini bersambung-sambung menggambarkan bahasa legasi pengasasnya itu diteruskan di Era Reinassance, bahkan sehinggalah era Revolusi Industri 1.0.

(4) Empirisism ialah fahaman yang mengatakan bahawa pengetahuan (epistemologi) itu diperolehi melalui pengalaman, dengan menggunakan pancaindera.

Iaitu sesuatu yang pernah dirasai, yang pernah dilihat, yang pernah dilalui dan sebagainya. Asas yang sama diletakkan Aristotle dan diwarisi oleh Epikuranism dan Stoicism.

Susur galur Empirisism

(1) Epikurus yang mengasaskan Sekolah Epikuranism dikenali dengan fahaman Rasionalism yang diasaskan oleh Socrates. Epikuranism secara khusus berpendapat bahawa kebahagiaan itu adalah kepuasan pancaindera.

Lalu mereka mengasaskan fahaman Hedonism yang sangat masyhur pada hari ini. Manakala Stoicism pula mengatakan bahawa kebahagiaan itu adalah satu ketenangan pancaindera. Lalu mereka cenderung ke arah ‘kezuhudan’.

Bahkan Stoicism juga mengatakan bahawa setiap manusia itu dilahirkan dalam keadaan kosong. Kemudian pengalaman dan pancainderanya mencorak kekosongan itu.

(2) Hal yang sama dibincangkan semula selepas 1700 tahun, dan timbullah Empirisism. Ada juga yang mengaitkan fahaman ini dikembangkan oleh Nicolaus Copernicus (1473-1543).

Namun yang masyhurnya ialah Francis Bacon dan susur galur sanad anak-anak muridnya yang saya nyatakan tadi. Empirisism pula terbahagi kepada 3 aliran, Empirio-Criticsm, Empirisism Logis dan Emprisis Radikal.

(3) Dalam Empirirism, Francis Bacon terkenal dengan ‘penelitian’ melalui pengalaman. Manakala anak muridnya Thomas Hobbes cenderung ke arah doktrin atau ajaran, dan menganggap alam itu dari sudut matematik.

Thomas Hobbes menyatukan antara Empirisism dan Rasionalism Matematik dalam mengemukakan satu aliran Materialism cara baru. Aliran ini dipertikai oleh John Wallis (1616-1703) dan berlakunya pertembungan.

(4) Pada zaman David Hume selepas John Locke, munculnya Immanuel Kant (1724-1804) yang cuba berusaha menggabungkan Rasionalism dan Empirisism, sebagai sumber pengetahuan yang melengkapi antara satu sama lain.

Immanuel Kant dan Auguste Comte

(1) Immanuel Kant itu pada zamannya mengemukakan bahawa nilai moral adalah hasil perbuatan yang dilakukan berdasarkan kesimpulan terhadap sesuatu aktiviti. Ringkasnya beliau menolak perangai ‘takut-takut’.

Perangai ini contohnya memikirkan kesan sesuatu tindakan, sebelum tindakan itu dibuat. Ia dikenali sebagai Teori Utilitarisma. Iaitu memikirkan risiko terlalu dalam sedangkan belum cuba.

Dalam masa yang sama beliau mengemukakan istilah ‘Maxim’ iaitu polisi yang mengawal tindakan agar mencapai kesempurnaan dalam bertindak untuk mengecapi satu-satu tujuan.

(2) Selepas berkembangnya Pemikiran Empirisism ini, munculnya Auguste Comte (1798-1857) dengan pemikiran Positivism yang berasaskan kepada Naturalism atau elemen-elemen kesemulajadian.

Positivism yang diasaskan oleh Auguste Comte dianggap sebagai kemuncak Empirisism, dan kemuncak Positivism ialah seseorang itu sudah tidak perlu beragama.

Ini kerana cukup dengan pengalaman, dan pancainderanya untuk mengetahui kebenaran. Aliran ini memberanakkan banyak lagi pemikiran yang berkaitan pancaindera dan kebahagiaan.

(3) Perkembangan ideologi serta evolusi-evolusinya ini merupakan gambaran kepada tabiat akal. Cumanya, sejauh mana kekuatan akal untuk membina potensi berfikir untuk mengetahui kebenaran.

Sejarah dan susur galur yang berselirat ini perlu diimbangi dengan asas akal melalui cara Islam. Bahkan, para pemikir yang saya sebutkan ini, boleh jadi terkesan dengan sejarah hitam hidup masing-masing.

Perspektif Islam

(1) Apabila kita meneliti satu persatu, ada teori-teori yang selari dengan Islam, dan ada yang bercanggah. Contohnya Empirisism mengatakan bahawa manusia itu bermula dengan kosong.

Nabi S.A.W bersabda;

كُلُّ مَوْلُوْدٍ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ

“Setiap anak yang lahir dilahirkan di atas fitrah, maka kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Majusi, atau Nasrani.”

(Shahih Bukhari)

(2) Di dalam Hadis ini menggambarkan bahawa epistemologi tidaklah semata-mata terikat dengan akal yang disalurkan melalui pancaindera semata-mata sepertimana Teori Empirisism.

Akan tetapi ia berkaitan dengan konsep pendidikan dan pembelajaran yang ditekankan dalam Islam. Kalau manusia itu dibiarkan berfikir, bimbang pemikirannya itu diacuankan oleh pengaruh yang tak baik.

(3) Dalam masa yang sama, hasil perkembangan Empirisism mengheret kepada perbincangan matematik, Materialism, fizik dan sebagainya yang mana dalam Islam ada konsep luar jangkauan fizik (metafizik).

Tidak semuanya boleh diukur dengan pancaindera. Bahkan pengalaman yang dilalui juga Islam menggesa supaya ia dijadikan pengajaran. Bukan satu-satunya sumber epistemologi.

Allah S.W.T berfirman;

قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ بَدَأَ الْخَلْقَ ۚ ثُمَّ اللَّهُ يُنشِئُ النَّشْأَةَ الْآخِرَةَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(al-Ankabut: 20)

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3654068237968243&id=100000953077134

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 15/4/2020

- Advertisement -