Sanitasi Awam sejak 30 Mac diselia KPKT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Operasi sanitasi awam telah dilaksanakan sejak 30 Mac lalu, di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,701 operasi sanitasi di 97 zon termasuk 26 zon merah. Antara kawasan yang di sanitasi adalah 1,203 bangunan kerajaan, 701 tempat awam, 763 pusat perniagaan dan 139 pasaraya.

Beliau berkata, kesemua zon merah di seluruh negara telah selesai di sanitasi. Operasi akan diteruskan di kawasan-kawasan yang diputuskan oleh kementerian kesihatan Malaysia melalui pejabat kesihatan daerah.

“Keutamaan tentu sahaja akan diberikan kepada kawasan di zon merah dan zon kuning. Lokaliti kes berdasarkan bilangan Covid-19 terkini,”katanya.

Menurut beliau, semalam sebanyak 174 operasi sanitasi yang meliputi 70 zon di 12 negeri termasuk 37 di Johor dan 21 kawasan di Terengganu yang mana sebanyak 141 bangunan kerajaan, 63 tempat awam, 61 pusat perniagaan dan 15 pasaraya telah di sanitasi.

“Semalam juga sebanyak sembilan kawasan gunasama skim strata kos rendah dan sederhana rendah zon merah di Selangor disanitasi menjadikan jumlah keseluruhan 35 kawasan gunasama zon merah di Selangor selesai disanitasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/4/2020

- Advertisement -