Sidang DUN Kelantan ikut syarat ditetap KKM

Setiap ADUN disediakan topeng muka, pencuci tangan, dan pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki dewan. Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan jarak sosial antara wakil rakyat satu meter.

Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, kerusi ADUN diubah bagi membolehkan dijarak kepada 1 meter.

Advertisement

Selain itu katanya pengurusan DUN turut menyediakan pencuci tangan, topeng muka dan pengesan suhu badan membabitkan semua ADUN.

“Pada persidangan DUN hari ini kami hanya menjemput ADUN sahaja, manakala ketua-ketua jabatan tidak diundang,” katanya selepas persidangan DUN selesai hari ini.

Persidangan DUN Kelantan sepatutnya diadakan pada 23 hingga 26 Mac lalu namun ditangguh ekoran penularan wabak Covid-19.

Abdullah juga berkata, tarikh akhir persidangan DUN Kelantan pada 16 April ini.

“Sekiranya diadakan selepas tarikh itu DUN Kelantan akan terdedah kepada risiko undang-undang,” tambahnya lagi.– HARAKAHDAILY 13/4/2020