Seramai 199 penggiat pelancongan terima ‘one off’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU:  Kerajaan Terengganu menyediakan bantuan ‘one off’ kepada hampir 200 orang penggiat pelancongan, ketika negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata tindakan segera pelan strategi sektor pelancongan adalah pemberian bantuan wang tunai secara ‘one off’.

Menurutnya, seramai 199 orang penggiat pelancongan di Terengganu akan menerima bantuan wang tunai bagi mengembalikan kerancakan ekonomi dalam sektor itu di negeri ini.

“Antaranya, pengayuh beca seramai 48 orang, pemandu bot penambang (17) orang, pemandu pelancong bandar dan pelancong alam sekitar (99 orang) dan Malim Gunung daerah Dungun seramai 35 orang.

“Namun, jumlah bayaran amaun ‘one off’ ini saya tidak umumkan di sini, kerana akan diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pakej rangsangan baharu beberapa hari lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Abdul Rashid Jusoh di Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu, Marina Duyong, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat menegaskan, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu amat mengambil berat akan kesan pandemik Covid-19, kepada penggiat pelancongan di negeri ini.

Katanya, semua program dan aktiviti pelancongan dan kebudayaan melibatkan orang ramai di bawah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. 

“Saya memetik daripada United Nation World Tourism Organization (UNWTO), pelancong antarabangsa dijangka mengalami penurunan antara 20 hingga 30 peratus pada tahun 2020, disebabkan wabak pandemik ini sedang melanda dunia hari ini.

“Kajian pakar pelancongan global, Atmosphare Research Group pula mengatakan garis pemulihan akan berlaku secara perlahan-lahan dalam tempoh dua tahun,” ujarnya.

Menurut beliau, ‘business travel’ dijangka hanya akan kembali normal selewatnya pada tahun 2022 dan ‘leisure traveller’ pada tahun 2023, dengan andaian pandemik Covid-19 berada di bawah kawalan tahun ini.

Pada awal Februari lalu, sebelum penularan wabak Covid-19 di Malaysia, Terengganu meletakkan sasaran baharu seramai 5.5 juta pengunjung ke negeri ini bagi tahun 2020.

Ini berikutan, kejayaan Terengganu mencatatkan kenaikan 9.8 peratus jumlah pelancong bagi tahun 2019 iaitu sebanyak 5.3 juta pelancong berbanding tahun 2018 seramai 4.8 juta.

Selain itu, katanya kerajaan negeri memberi keyakinan kepada sektor pelancongan bahawa hotel dan tempat penginapan serta lain-lain selamat dari ancaman wabak Covid-19 selepas berakhir PKP ini.

Menurut Ariffin, pihaknya akan mengadakan kempen pelancongan domestik termasuk mempergiatkan sektor pelancongan itu dalam negeri Terengganu.

“Kami (kerajaan) akan meneruskan aktiviti promosi di media cetak dan media elektronik serta meningkatkan penggunaan media sosial.


“Kami menggiatkan promosi melalui 13 sub-sektor pelancongan terutama pelancogan eko, pelancongan sukan, pelancongan pengalaman, pelancongan kesihatan dan lain-lain.

“Kerajaan negeri akan menggunakan sepenuhnya platform teknologi maklumat (digitalization) seperti apps, e-travel fair dan konsep ‘buy now, travel later’ serta banyak lagi,” jelasnya.- HARAKAHDAILY 13/4/2020

- Advertisement -