Rindu iman atau rindu palsu

- Advertisement -

SEMUA orang secara lumrahnya memiliki perasaan rindu. Dan masing-masing punyai rindu yang berbeza-beza bergantung pada situasi dan keadaan jiwanya yang tidak perlu untuk disenaraikan.

Bagi orang beriman secara khusus, walaupun kehidupan tidak sama, tetapi berkongsi pada suatu perasaan yang sama iaitu suka dan rindu pada perkara yang mendatangkan pahala, apatah lagi jika memang ia sudah menjadi suatu kewajipan atau kebiasaannya. Lebih-lebih lagi, jika dipelajari bahawa ia adalah perlakuan yang disukai oleh Baginda S.A.W, atau yang dikategorikan sebagai perbuatan Sunnah.

Dalam musim wabak COVID-19, sudah masuk sebulan, atau 4 kali Jumaat orang Islam tidak menunaikan solat Jumaat, begitu juga solat berjemaah 5 waktu di masjid-masjid. Orang beriman yang komited sentiasa solat 5 waktu di masjid pastinya merindui rumah kedua mereka. Dalam satu Hadis Nabi S.A.W menyebutkan perihal satu golongan yang akan mendapatkan naungan ‘Arasy Allah Taala iaitu mereka yang hatinya sentiasa terpaut di Masjid! Betapa kerinduan itu membuak-buak merindui laungan azan, solat sunat, berzikir di dalam masjid sambil bersilaturahim sesama orang Islam.

- Advertisement -

Mengingati peristiwa wabak Tha’un yang melanda bumi Syam sekitar tahun 18 Hijrah, usai sahaja wabak tersebut reda, Saidina Umar al-Khattab bersama rombongannya termasuklah Sayyiduna Bilal bergerak menuju ke Syam untuk membantu menyelesaikan urusan pentadbiran, pengurusan jenazah dan kebajikan penduduk di sana.

Apabila masuknya waktu solat, Sayyiduna Umar mengarahkan Sayyiduna Bilal untuk melaungkan azan. Tatkala memulakan azan, terus Sayyiduna Bilal menangis hingga membasahi janggutnya. Bahkan Umar al-Khattab adalah yang paling kuat tangisannya! Lalu orang ramai yang melihatnya turut menangis bersama, juga disebabkan kerinduan mereka kepada Rasulullah S.A.W!

Sebelum menunaikan solat (tidak dipastikan waktunya), Sayyiduna Umar bangun memberikan khutbah motivasi dan peringatan supaya umat Islam bersyukur dan redha dengan ketentuan Allah. Wabak ini telah mengorbankan lebih 25 ribu orang.

Lalu, apakah kita juga akan merasai perkara yang sama jika berakhirnya wabak ini? Berpusu-pusu ke rumah Allah atau ke kedai kopi dan pasaraya? Apakah sebenarnya yang menjadi kerinduan kita?

” … (Setelah itu Kami perintahkan): “Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.”

(Saba’: 13)

Moga Allah golongkan kita dalam kalangan mereka yang bersyukur ketika wabak melanda dan sesudahnya. Amin ya Rabb.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 13/4/2020

- Advertisement -