PKP: RM153.24 juta zakat diagih bantu asnaf terjejas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Institusi zakat negeri seluruh Malaysia melalui peruntukan khas telah mengagihkan sebanyak lebih RM153.24 juta untuk membantu asnaf yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan berkata bantuan tersebut dalam tempoh PKP sahaja, tidak termasuk skim-skim bantuan lain.

- Advertisement -

“Jumlah ini akan bertambah dari masa ke semasa mengikut kepada kesan wabak Covid-19 ke atas rakyat.

“Agak-agak kalau tak ada dakwah seruan berzakat, akan ada agihan sebanyak ini tak?” Katanya menerusi penulisan di Facebooknya.

Jumlah agihan zakat setakat ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pusat Pungutan Zakat telah mengagihkan RM34.41 juta; Zakat Pulau Pinang (RM14.52 juta); Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan Pusat Pungutan Zakat Pahang (RM12.2 juta) dan Majlis Agama Islam Kelantan (RM12.6 juta).

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (RM14.35 juta); Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (RM20.2 juta); Lembaga Zakat Selangor (RM15 juta); Majlis Agama Islam Johor (RM7.4 juta); Lembaga Zakat Kedah (RM16.7 juta); Perbadanan Baitul Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (RM4.3 juta).

Zakat Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (RM4.26 juta); Tabung Baitulmal Sarawak (RM6 juta); Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Agama Islam Sabah (RM6 juta) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (RM3.98 juta).

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kepada semua pembayar zakat dan menyifatkan mereka sebagai ‘hero’ kepada golongan asnaf.– HARAKAHDAILY 13/4/2020

- Advertisement -