Kedai gunting rambut, bazar Ramadan tak dibenar operasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan perniagaan perkhidmatan seperti kedai gunting rambut, salon, pusat kecantikan dan bazaar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, pelajar yang terkandas IPTA dan IPTS dalam tempoh PKP ini diminta kekalkan kedudukan di institusi masing-masing bagi memastikan operasi kerajaan memutuskan rantaian penularan Covid-19 berjaya sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Menteri Kanan Keselamatan yang juga Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walau bagaimana kebajikan makan dan minum para pelajar akan terus ditanggung oleh kerajaan.

Beliau berkata semua keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan berdasarkan pandangan orang ramai, NGO, pakar, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM).

- Advertisement -

Katanya, pihak kerajaan mengambil keputusan sedemikian supaya tidak berlaku pergerakan besar-besaran yang akan menyukarkan pemantauan PDRM untuk mengawal pergerakan besaran yang mungkin akan mewujudkan kluster baru penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara agar kekal di negara berkenaan kerana banyak negara tika ini menyekat keluar masuk penerbangan.

“Bagi rakyat kita yang terkandas di luar negara, kita diminta supaya mereka menghubungi kedutaan Malaysia yang terdekat, kementerian luar negara, iaitu Wisma Putra sentiasa komited di dalam memastikan kebajikan mereka diberikan keutamaan.

“Walau bagaimanapun urusan untuk membawa mereka pulang tertakluk kepada negara yang terbabit di mana mereka terkandas, ini disebabkan terdapat negara yang menguatkuasakan sekatan perjalanan di negara mereka sendiri.

“Iaitu membatalkan semua penerbangan untuk keluar bagi mereka mengekang pandemik Covid-19 di negara mereka,” katanya dalam sidang media harian perkembangan semasa Covid-19, hari ini.

Oleh itu katanya, tidak semua yang boleh dibawa pulang walau bagaimanapun kementerian luar akan sentiasa menghubungi negara berkaitan bagi memastikan supaya pelepasan dapat dilakukan dan membenarkan rakyat negara ini untuk pulang.

Sekiranya pihak kerajaan diberikan kebenaran untuk membawa pulang rakyat Malaysia, tambahnya kos membawa pulang perlu ditanggung oleh individu berkaitan dan penerbangan khas pulang akan diuruskan oleh Kementerian Pengangkutan.

Beliau turut menyentuh jalan tikus dan perairan sempadan negara dikawal ketat bagi mengawal kemasukan warga asing ke negara ini.

“Seperti kita tahu, sempadan kita telahpun ditutup kepada kemasukan semua warga asing dan jalan tikus juga telah kita sentiasa memantau untuk memastikan tiada warga asing yang menyeludup masuk ke negara kita.

“Tindakan tegas pastinya, akan diambil kepada mana-mana warga asing yang memasuki negara kita melalui jalan tikus ini.

“Setakat hari ini, tiada pencerobohan daripada warga luar yang dikesan yang memasuki negara kita melalui jalan tikus yang saya sebutkan tadi,” ulasnya.

Dalam pada itu, kadar pematuhan PKP sehingga semalam adalah 97 peratus, difahamkan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melakukan sekatan jalan raya sebanyak 784 sekatan di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 358,593 kenderaan.

Sebanyak 35, 825 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 5,275 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

Seramai 1,471 individu yang ingkar perintah PKP yang merangkumi 949 individu yang telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 manakala seramai 503 individu direman dan 19 individu dijamin polis.

Dari segi jumlah tangkapan ianya terus bertambah, ini menunjukkan bahawa pihak polis tidak lagi berkompromi dengan mana-mana individu yang ingkar PKP.- HARAKAHDAILY 13/4/2020

- Advertisement -