PAS lapor polis pemilik akaun sebar fitnah

- Advertisement -

PARIT BUNTAR: PAS Kawasan Parit Buntar telah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Aiman Shaukie yang memuatnaik status berunsur fitnah terhadap pemimpin PAS di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Bagan Serai, di sini semalam.

Menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Parit Buntar, Mohd Hayat Mokhtar, status dimuatnaik individu berkenaan memaparkan gambar Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang diapit dua gadis minuman arak Carlsberg di ruangan siaran laman sosialnya.

Pemilik akaun tersebut juga katanya, menyamakan logo PAS dengan logo jenama arak Heineken dengan status “Terima kasih Kerajaan Malaysia kerana memahami denyut nadi rakyat” merujuk isu kilang arak dibenar beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada 5 April yang lalu kira-kira jam 9:05 malam, akaun sama telah memuat naik gambar seorang gadis berpakaian baju berlogo minuman arak (Heineken) dan berseluar pendek jeans biru dengan teks “Ini macam kalau lebai MEWA dapat.!! Tak Sempat Nak Cari DALIL..terlondeh jubah terus lebai berdalih dengan bini…”,” ujarnya.

Naib Ketua Pemuda PAS Parit Buntar, Ustaz Hakimi Hamzi pula memaklumkan, pada 5 April jam 5:39 petang, individu tersebut juga memuatnaik lagi status iaitu “masjid diarahkan tutup, kilang arak beroperasi.. Mana pemimpin PAS semua dah bisu pekak buta? Arak-arak dah jadi halal bagi pemimpin PAS.”

Menurutnya lagi, antara kandungan fitnah lain dinyatakan oleh pemilik akaun itu juga ada muat naik status “Carlsberg hari tu bagi 60 juta… terus boleh beroperasi dan jadi halal bagi olamak hadi” yang dipercayai juga merujuk kepada Presiden PAS.

Tidak berhenti di situ kemukanya, kenyataan demi kenyataan berbaur fitnah dan melampau terus dikeluarkan oleh pemilik akaun tersebut yang jelas mengundang pelbagai reaksi daripada warga media sosial.

PAS Parit Buntar berpendirian semua muat naik oleh pemilik akaun berkenaan jelas dan terang lagi berniat jahat yang tidak boleh diterima sama sekali kerana ia ditujukan kepada penama tersebut iaitu Presiden, pemimpin dan parti PAS itu amnya.

“Kami berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) segera mengambil tindakan terhadap individu terbabit yang nyata tidak bertanggungjawab di saat negara sedang berdepan COVID-19,” gesa mereka. – HARAKAHDAILY 13/4/2020

- Advertisement -
- Advertisement -