Malaysia komited teruskan kerjasama antarabangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kewujudan Kementerian Alam Sekitar dan Air sejak 9 Mac lalu telah mendapat perhatian dan pelawaan kerjasama daripada rakan sejawat negara jiran dan badan antarabangsa yang kekal berlangsung dengan baik.

- Advertisement -

Terbaharu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menerima pengakuan komitmen tersebut dari Pengarah Eksekutif Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), Inger Andersen.

“(Terutama) dalam usaha untuk menanggapi cabaran-cabaran persekitaran yang semakin meningkat di zaman kita. Saya menggalakkan tekad Kerajaan Malaysia untuk memberi keutamaan yang tinggi terhadap kemampanan alam sekitar.

“(Juga terhadap) pencemaran dan keutamaan lain di bawah Matlamat Pembangunan Mampan, terutamanya kerana kerajaan anda juga sedang berdepan pandemik global,” ujar Inger merujuk COVID-19 dalam surat tersebut.

Katanya, menerusi Pengarah Serantau Asia dan Pasifik UNEP, Dechen Tsering, pihaknya mahu bergiat dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia untuk terus meningkatkan kerjasama bersama dan mempromosikan pembangunan mampan.

Usaha itu menurutnya, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga seluruh rantau dan berharap berpeluang untuk bertemu dengan Dato’ Tuan Ibrahim tidak lama lagi bagi membincangkan cara untuk mengukuhkan kerjasama dimaksudkannya.

Manakala Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Masagos Zulkifli dalam muat naik di Facebook beliau menzahirkan rasa gembira dapat mengadakan perbualan telefon yang dibuatnya minggu lalu dengan rakan sejawatnya itu.

“Kami (Singapura) mengesahkan kerjasama dan persahabatan yang lama di antara negara-negara kita dan bersetuju bahawa Singapura dan Malaysia perlu terus bekerjasama rapat untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

“Sebagai jiran, hubungan antara Singapura dan Malaysia adalah luas dan pelbagai aspek. Kita mesti memanfaatkan sinergi dengan bekerjasama dalam isu-isu alam sekitar dan air, yang akan memberi manfaat kepada rakyat kita.

“Saya tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan Menteri Tuan Ibrahim untuk meningkatkan hubungan dua hala kami. Kami bertukar-tukar harapan dengan usaha kami untuk menangani pandemik COVID-19 semasa.

“Saya menyampaikan harapan kami untuk bertemu secara peribadi secepat mungkin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/4/2020

- Advertisement -