Hadapi kepayahan dengan dekat diri kepada Allah

- Advertisement -

SAYA tak keluar ke mana-mana. Paling jauh ke Pasar Peramu mencari keperluan dapur. Itu pun catu bajet. Maklumlah kita tak tahu berapa lama lagi kita semua akan berada dalam PKP ini.

Dulu masa belajar pondok di Kelantan saya kerap juga makan nasi dengan air garam sahaja berhari-hari. Kadang-kadang itu rebus ikan masin, sebab tak ada duit untuk beli minyak masak.

Pernah juga turun masak dekat bawah pondok guna pelepah kelapa. Bila kawan-kawan tanya kenapa tak masak dekat atas atau dalam pondok. Saya jawab saja nak rasa nasi yang dimasak dengan kayu.

Walhal tak ada duit nak beli minyak tanah untuk dapur minyak. Begitulah pengalaman mengajar kita. Rupanya ada hikmah dari Allah. Kalau ada duit pun saya cuma berbelanja 60 sen sahaja sehari.

30 sen untuk dua ikat kangkung dan 30 sen lagi untuk ikan masin. Kalau sesekali ada duit hadiah solat jenazah dari orang kampung, saya simpan untuk beli kitab.

- Advertisement -

Pengalaman kedua bila berada dalam tahanan ISA. 60 hari dalam lokap yang sepi mengajar saya erti sabar dan pasrah. 4 bulan pertama di kem tahanan saya diasing sendirian dalam sel. Kerana kononnya saya bahaya.

Manakala teman-teman lain bertiga dalam setiap sel. Namun begitu setiap malam kami akan ramai-ramai buat zikir munajat. Allah putar jam menjadi cepat. Sehingga seminggu, sebulan dan bahkan setahun dirasakan sangat pantas.

Saya ditahan selama 3 tahun lebih dalam kem tahanan dan 10 bulan tahanan terhad di rumah. Rupanya Allah nak didik agar sebarang kepayahan hadapilah dengan mendekatkan diri kepada Allah.

Tahu lah Allah akan tolong kita mengikut cara Allah bukan ikut cara kita. Teman-teman, anak-anak dan adik-adik sekalian. Sabar itu pahit pada awalnya dan manis pada penghujungnya.

Bertabahlah dengan kehidupan ini. Jangan sombong dan lupa diri bila kita di atas. Pengalaman menjadikan saya kadang-kadang gerun melihat jika ada orang yang sombong dengan apa yang ia capai kerana saya sudah kerap meihat kejatuhan yang menghinakan bagi yang lupa daratan. Siang tidak selamanya dan begitu juga malam pasti akan pergi…

“Bertabahlah”

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 13/4/2020

- Advertisement -