Social Cycle Theory: Antara Islam dan Barat

- Advertisement -

IBNU Khaldun

(1) Ibnu Khaldun ada menulis di dalam المقدمة, mengenai jatuh bangun sesebuah tamadun yang boleh difahami dengan ‘Teori Kitaran’ (الدورية) atau Social Cycle Theory.

Selain Ibn Khaldun, teori seperti ini juga ada diutarakan oleh Plato dan ramai lagi ahli falsafah apabila membicarakan mengenai sejarah. Ia diumpamakan seperti roda.

(2) Ibn Khaldun melukiskan di dalam Teori Kitarannya bagaimana jatuh bangun sebuah tamadun. Beliau meletakkan sebanyak 3 fasa, iaitu kemunculan, kekuasaan, dan kejatuhan.

Kemunculan sesebuah Tamadun dimulai dengan perasaan ‘kekitaan’ atau kebersamaan. Hidup saling memerlukan antara satu sama lain dalam kelompok kecil.

Atau bahasa mudahnya kelompok yang ‘satu kepala’. Sealiran. Asas inilah yang melahirkan sesebuah Kerajaan atau tamadun. Namun, akibat kezaliman dan penindasan, tamadun ini akan jatuh.

- Advertisement -

(3) Di sini kita boleh kaitkan dengan banyak ayat al-Quran yang menggambarkan berlakunya pusingan atau kitaran seperti ini, antaranya;

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ

“…. Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, ….”

(Ali-Imran: 140)

Ayat ini menceritakan mengenai situasi Perang Uhud, yang menggambarkan penggiliran yang digariskan oleh Allah S.W.T. Boleh jadi kemenangan itu di pihak Islam, boleh jadi di pihak kafir.

Huraian al-Quran

(1) Berdasarkan ayat 140 Surah Ali Imran, Imam Qurtubi menukilkan pandangan bahawa;

هذا في الحرب ، تكون مرة للمؤمنين لينصر الله عز وجل دينه ، ومرة للكافرين إذا عصى المؤمنون ليبتليهم ويمحص ذنوبهم ; فأما إذا لم يعصوا فإن حزب الله هم الغالبون

“Situasai ayat ini ketika perang. Kadang kala memihak kepada orang beriman kerana Allah S.W.T membantu agamaNya. Kadangkala ia memihak kepada orang kafir, iaitu apabila orang beriman itu melakukan maksiat. Kitaran ini bertujuan untuk menguji mereka, dan menapis dosa-dosa mereka. Adapun jika mereka itu tidak melakukan maksiat, sesungguhnya parti Allah itulah yang menang.”

(2) Selain itu, Imam Qurtubi sendiri menyatakan huraiannya;

هذه المداولة ليرى المؤمن من المنافق فيميز بعضهم من بعض

“Kitaran ini bertujuan menzahirkan siapakah yang beriman daripada orang munafik, maka mereka itu berbeza antara satu sama lain.”

(3) Kita juga wajar perhatikan perkataan التداول dan الدورية yang diterjemahkan kitaran dan boleh diumpamakan sebagai roda. Namun dalam seni Bahasa Arab ia ada beza sekalipun terjemahannya sama.

Perkataan التداول lebih bermaksud penggiliran. Manakala الدورية kitaran yang berpusing atau berputar. Walau bagaimanapun perbezaannya secara bahasa, ia tetap sama dari sudut konsepnya.

Penggiliran dan penggantian

(1) Al-Quran menggambarkan bahawa memang berlaku kitaran, cumanya tidak dispesifikkan secara khusus fakta-fakta kitaran itu sepertimana yang diteorikan oleh ahli falsafah Barat.

Bahkan, Nabi S.A.W pernah dalam satu Hadis yang panjang, antara yang dinyatakan;

إِنَّ رَحَى الإِسْلامِ دَائِرَةٌ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ

“Ketahuilah, sesungguhnya roda Islam terus berpusing (berdepan penentangan musuh). Maka hendaklah kamu berpusing bersama al-Kitab (al-Quran) di mana saja ia berpusing.”

(2) Ada yang berpendapat bahawa Hadis ini sanadnya dha’if, tidak boleh dijadikan hujah. Namun, boleh beramal dengannya. Cuma, konsep kitaran itu wujud sepertimana yang digambarkan di dalam al-Quran

Di dalam al-Quran mahupun Hadis, saya belum menemui penetapan kitaran itu secara khusus, melainkan tafsiran ayat Surah Ali Imran ayat 140 yang dinyatakan di awal tadi.

(3) Perkataan التداول juga dikaitkan dengan الاستبدال yang bermaksud penggantian. Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T;

وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”

(Muhammad: 38)

(4) Kita boleh bayangkan bentuk sebuah roda. Yang berada di atas akan turun ke bawah, manakala yang bawah akan naik ke atas. Sudah pasti berkaitan dengan penggiliran dan penggantian.

Falsafah Barat

(1) Teori Kitaran yang dilakarkan oleh Ibnu Khaldun di dalam المقدمة hakikatnya turut dikaji oleh falsafah Yunani sebelumnya dan Falsafah Barat yang muncul selepasnya.

(2) Teori kitaran ini disebut seawal zaman Falsafah Yunani oleh Polybius (208-125 SM) yang hidup di zaman Hellenistik. Tulisannya antaranya menggambarkan mengenai kekuasaan Rom.

Begitu juga beliau turut mencatat sejarah penjajahan Roman selepas Perang Achean yang terjadi sekitar 146SM. Realiti semasa itu mencorakkan pemikiran Polybius untuk mengemukakan teori ini.

(3) Selain daripada Ibn Khaldun dan Polybius, antara yang masyhur dengan teori ini ialah Giambattista Vico yang hidup di era Reinassance. Juga dilihat terkesan dengan realiti zamannya.

Daniel W Rossides menyatakan di dalam tulisannya yang bertajuk Social Theory menyatakan bahawa Teori Kitaran adalah kepercayaan umum yang biasa bagi masyarakat kuno.

(4) Antara ahli sejarah terkenal yang juga merupakan ahli falsafah Rusia, Nikolai Danilewski (1822-1885) dianggap sebagai individu penting dalam mengemukakan teori ini.

Pada 1869, beliau membezakan antara pelbagai peradaban antaranya Mesir, Cina, Parsi, Yunani, Rom, Jerman, dan lain-lain. Beliau menggambarkan bahawa setiap tamadun mempunyai kitaran hayatnya tersendiri.

Contohnya pada akhir abad ke-19 tamadun Romawi-Jerman menuju ke arah kemerosotan, manakala tamadun Slav menghampiri zaman kegemilangannya

Karya Era Baru

(1) Teori ini juga turut ditulis oleh Oswald Spengler (1880–1936) dalam karyanya pada 1918 bahawa peradaban Barat ketika itu telah memasuki fasa terakhir pembangunan, dan menuju kemerosotannya yang tidak dapat dielakkan.

Antara individu penting dalam teori ini ialah Vilfredo Pareto (1848-1923) dalam tulisannya pada 1916, menggambarkan bahawa kuasa sentiasa berpindah dari ‘rubah’ kepada ‘singa’ dan sebaliknya.

(2) Selain itu, teori ini turut digunakan oleh Pitirim A. Sorokin (1889-1968) dalam tulisannya pada 1937 dan 1943. Beliau turut mengemukakan teori kejatuhan Barat dan kemunculan idealis baru.

(3) George Modelski (1926-2014) juga ada membentangkan idea-ideanya dalam buku, Long Cycles in World Politics (1987), yang mengemukakan teori kitaran panjang.

Ia menghubungkan antara kitaran perang, ketuanan ekonomi, dan aspek politik kepemimpinan dunia. Jatuh bangun semua tamadun itu seolah-olah tertumpu kepada 3 perkara tadi.

(4) Secara ringkasnya, kita perlu fahami bahawa Teori Kitaran ini dibincangkan sejak zaman Falsafah Yunani, kemudian dibincangkan oleh ahli Falsafah Islam, dan seterusnya ahli Falsafah era Reinassance.

Bermaksud ia bukan sekadar teori, kerana perbincangan sejak zaman berzaman membuktikan bahawa ia adalah realiti yang perlu kita teladani. Apatah lagi ia diisyaratkan di dalam al-Quran.

Justeru, apabila kita fahami konsep ini, kita perlu mengikut saranan Baginda S.A.W supaya tetap teguh bersama Islam, sama ada di era kegemilangannya, atau di era kejatuhan.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 12/4/2020

- Advertisement -