Nicole ‘berjiwa besar’ sanggup mohon maaf – Siti Zailah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof menyifatkan Nicole Wong ‘berjiwa besar’ apabila bersedia memohon maaf kepadanya.

Menurut Zailah, Ketua Pemuda MCA itu telah memohon maaf kepadanya secara peribadi malam tadi melalui aplikasi WhatsApp.

Ketika dihubungi Zailah berkata beliau telah memaafkan dan mengucapkan terima kasih kerana sanggup memohon maaf serta menganggap salah faham itu sudah berakhir.

“Nicol sudah WhatApp secara personal (peribadi) malam tadi dan meminta maaf pada Kak Lah (Siti Zailah).

- Advertisement -

“Kak Lah ucap terma kasih atas permohonan maaf dia. Kak Lah bagitahu dia Kak Lah sayang dia, seorang anak muda yang berjiwa besar seperti Nicole,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Namun, jelas Zailah, beliau berpesan kepada Nicol agar tidak mengulangi kesilapan itu lagi.

Katanya, beliau (Nicole) perlu berhati-hati dalam memberi komen terhadap sesuatu perkara yang tidak jelas dan perlu disemak dahulu sebelum membuat sebarang ulasan.

Menyentuh tentang rakaman video baru-baru ini beliau hanya berkongsi tip sebagai panduan kepada masyarakat di negara ini dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama keluarga.

“Kak Lah berkongsi tip bagaimana untuk mengharmonikan sesebuah keluarga ketika kita diberi ujian di musim PKP ini.

“Kita perlu banyak bersabar, bersangka baik antara sesama keluarga, sentiasa hargai setiap anggota keluarga, berterima kasih dan berbagai lagi,” ujarnya.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang perlunya sikap toleransi dan kesabaran yang tinggi antara pasangan supaya tidak timbulnya pertengkaran dan sebagainya.

Jelasnya, sekiranya setiap anggota keluarga mengikuti ajaran Islam dengan betul, tidak akan berlaku masalah rumah tangga di samping perbanyakkan doa setiap hari untuk mendapatkan sebuah keluarga yang bahagia.- HARAKAHDAILY 12/4/2020

- Advertisement -