MADAD bertuah terima lawatan dua Menteri

- Advertisement -

JERANTUT: Maahad Dirasat Diniyyah (MADAD) dan Pejabat ADUN Damak telah menerima lawatan tidak rasmi daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

- Advertisement -

Lawatan bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man ini bertujuan menyampaikan sumbangan kepada MADAD yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan bermula sejak 18 Mac lalu.

Dato’ Dr Zulkifli menyarankan agar semua pusat tahfiz mahupun madrasah persendirian melakukan pendaftaran dengan pihak berkuasa agama mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Katanya, pendaftaran pusat tahfiz akan membuka ruang luas para pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih baik seperti ke Universiti Islam Madinah, Universiti Al Azhar Mesir dan Universiti Kuwait.

Beliau juga berhasrat untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu negeri memiliki satu tahfiz yang memberikan pembelajaran percuma kepada para pelajar bertujuan mengangkat pelajar-pelajar yang menghafal Al-Quran.

Sementara itu, Dato’ Tuan Ibrahim dalam ucapannya meminta agar semua pihak memelihara kelestarian alam dan sungai sebagai punca air bersih negara dan beliau akan bertindak tegas dengan aduan yang melibatkan pencemaran alam sekitar.

ADUN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud selaku Mudir MADAD terharu dengan kehadiran dua Menteri ke pusat tahfiznya dan memaklumkan bahawa MADAD diasaskannya itu telah berdaftar di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Majlis ini turut dihadiri ADUN Tahan, Ustaz Ahmad Zakhwan Badarddin dan EXCO Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Nazri Ngah serta Yang DiPertua PAS Kawasan Jerantut, Ustaz Yohanis Ahmad.

Juga bersama adalah Pengerusi Federal Power Sdn Bhd, Dato’ Seri Nik Wan Hisham Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa agar Allah menghapuskan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia dipimpin oleh Senator Dato’ Dr Zulkifli. – HARAKAHDAILY 12/4/2020

- Advertisement -