Covid-19: 3 lagi meninggal dunia, 153 kes baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 153 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak berkenaan sebanyak 4,683 kes.

Dalam masa yang sama, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan terdapat tiga lagi kes kematian hari ini, menjadikan jumlah kematian kepada 76 orang.

Menurutnya, kes kematian ke-74 merupakan seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

- Advertisement -

Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan pada 11 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi hari ini.

Manakala, kematian ke-75 juga seorang lelaki warga Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Beliau telah dirawat di Hospital Taiping, Perak pada 1 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 5.23 pagi hari ini.

“Kes kematian ke-76 merupakan seorang perempuan warga Malaysia berumur 47 tahun dan mempunyai latar belakang darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 8 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.36 pagi, hari ini,” katanya pada sidang media sebentar tadi.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa seramai 113 orang telah sembuh dan menjadikan jumlah yang sembuh seramai 2,108 orang, iaitu 45 peratus daripada kes keseluruhan.

Namun, seramai 66 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 37 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, berbanding 39 pesakit semalam.- HARAKAHDAILY 12/4/2020

- Advertisement -