PAS sokong tangguh sesi sekolah dan pengajian

Melibatkan semua institusi pendidikan

- Advertisement -

PENGUMUMAN Perdana Menteri mengenai lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telahpun dijangka oleh majoriti rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Lajnah Pendidikan PAS menyambut baik pengumuman tersebut serta akur saranan Perdana Menteri untuk melanjutkan  penangguhan sesi pengajian di semua institusi pendidikan awam mahupun swasta meliputi sekolah aliran kebangsaan, sekolah agama negeri dan rakyat, madrasah tahfiz serta tidak ketinggalan sekolah rendah dan menengah swasta.

Gesaan Perdana Menteri supaya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkasa strategi ‘Pembelajaran Dari Rumah’ ataupun Home Based Learning hendaklah diterjemahkan dalam bentuk praktikal dan realistik.

Dalam hal ini, Lajnah Pendidikan PAS mencadangkan agar pihak kerajaan  menubuhkan satu badan bertindak gabungan di antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Komunikasi, untuk duduk semeja berbincang mengenai kaedah pengajian terbaik di alam maya yang lebih komprehensif.

Hal ini penting bagi menarik minat anak-anak murid serta para pelajar minat untuk belajar dalam keadaan kondusif seperti mewujudkan aplikasi-aplikasi tertentu yang dapat membantu guru mengajar dan pelajar dapat belajar dengan sempurna. Sebagai contoh, guru mengajar dan mengemukakan soalan. Pelajar belajar dan menjawab. Akhirnya, guru menyemak jawaban dan memberi markah. Semuanya atas talian.

Bagi para pensyarah di menara gading pula, mereka perlulah menjadualkan semula sesi kuliah secara atas talian supaya para penuntut tidak terlepas daripada mengikuti kelas pengajian walaupun berada di kampung halaman.

Di samping itu, pihak pengurusan sekolah juga hendaklah pro-aktif meningkatkan keupayaan sistem penyampaian pembelajaran dan merangka pelan jangka pendek berfokus supaya murid-murid sekolah rendah khususnya tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran sepanjang tempoh PKP ini.

Para ibu bapa juga hendaklah sensitif mengenai pembelajaran anak-anak di rumah serta memastikan anak-anak mereka tidak terlepas daripada jadual pengajian atas talian jika ada.

Pihak Lajnah Pendidikan PAS juga mengharapkan supaya pihak KPM dan KPT dapat menyemak semula jadual peperiksaan awam dan universiti agar pihak pelajar tidak merasa tertekan dengan situasi yang dihadapi.

Justeru, Lajnah Pendidikan PAS amat berterima kasih di atas keperihatinan Perdana Menteri dan menyokong keputusan kerajaan melanjutkan PKP. Apa yang paling mustahak adalah masa negara terletak di atas tangan anak-anak kita. Pastikan masa mereka terisi dengan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Hayatilah tanda palang Duduk Di Rumah.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat &
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kedah – HARAKAHDAILY 11/4/2020

- Advertisement -