KHIDMAT Malaysia Melaka berpadu tenaga demi rakyat

- Advertisement -

KHIDMAT Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia atau KHIDMAT Malaysia merupakan badan pengurusan penyelamat, bantuan dan pemulihan bencana dan kecemasan yang ditubuhkan PAS.

- Advertisement -

Sesuai dengan visi dan misi KHIDMAT Malaysia iaitu untuk menjadi organisasi pengurusan bencana dan kecemasan yang terkedepan, KHIDMAT Malaysia Melaka di bawah kepimpinan Muhammat Puhat  Bedol telah mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia khusunya di Melaka dalam menghadapi wabak Covid-19.

Bersama-sama dengan Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Melaka, Jabatan Amal Melaka, Jabatan Muslimat Medical Team (MusMedik ) beserta NGO Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA ) dan sukarelawan, telah berpadu tenaga untuk menghasilkan Alat Pelindung Diri (PPE) bagi kegunaan “Frontliner” dalam menghadapi wabak Covid-19 yang sedang melanda negara buat masa ini. 

Tidak ketinggalan juga Briged Muslimat, Ameerah dan Nisa’ PAS yang turut bersama-sama berada di garisan hadapan memainkan peranan penting dalam melaksanakan projek kebajikan ini.

Fasa pertama dan kedua dari projek ini, KHIDMAT Malaysia ( KM ) Melaka telah berjaya menghasilkan sebanyak 800 helai isolation gown, 800 unit face shield, 800 unit hood, 800 helai tudung pakai buang, 60 helai telekung dan 450 set shoe cover dan beserta hand sanitizer dan disinfectant telah pun diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Unit Kecemasan Hospital Melaka, Alor Gajah dan Jasin.

Ia juga diserah ke beberapa pusat kesihatan daerah dalam negeri Melaka serta Unit Farmasi dan Jabatan Pathologi Hospital Sultanah Fatimah Muar Johor. 

Usaha murni ini dilaksanakan dengan mengambil kira arahan PKP yang harus dipatuhi untuk menjamin keselamatan dan kesihatan para sukarelawan yang terlibat. 

Kerja amal ini melibatkan pasukan reka bentuk dan persiapan bahan yang berpusat di Air Keroh, Jabatan Amal dan pemuda yang betindak sebagai “runner” dan 80 orang tukang jahit yang bekerja secara sukarela dari rumah masing-masing di sekitar  daerah-daerah dalam negeri Melaka. 

Keseluruhan projek ini dibiayai atas derma orang ramai dan sumbangan peribadi dari beberapa individu samada dalam bentuk material, tenaga dan lain-lain keperluan yang berkaitan. 

Disebabkan hampir kesemua alatan PPE ini merupakan alatan pakai buang, maka projek ini akan diterusan untuk fasa-fasa selanjutnya sesuai dengan keperluan dan permintaan dalam menghadapi wabak Covid-19 ini.

Rasa sayang dan cinta kepada negara dan rakyat Malaysia, sepantasnya dijadikan asas  bersama dalam mendukung program ini tanpa mengira batas perbezaan politik, warna kulit dan agama.

Inilah masanya untuk kita bersatu menggembeleng tenaga dan menyumbang untuk keselamatan Malaysia, rakyatnya dan keluarga kita khususnya di Melaka.

Bagi mereka yang prihatin bolehlah menyalurkan derma atau sumbangan kepada akaun Maybank Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka no. 1540 2633 5344.

Sekalung tahniah dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyumbang, sukarelawan dan semua yang terlibat dalam menjayakan projek amal ini.

BAKRI JAMALUDIN


Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka. HARAKAHDAILY 11/4/2020

- Advertisement -