COVID-19 : 184 kes baharu, 165 pulih

KUALA LUMPUR: 184 kes baharu positif jangkitan Covid-19 direkodkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia adalah 4,530 kes termasuk kes yang pulih dan layak didiscaj.

Advertisement

Jumlah kes pulih hari ini adalah 165 kes menjadikan kes yang pulih sepenuhnya setakat ini adalah 1,995 kes dengan peratusan sebanyak 44.04 peratus.

Kes aktif yang masih dirawat di seluruh negara ketika ini berjumlah 2,462 kes dengan 72 daripadanya kini berada didalam pantauan rapi petugas kesihatan dibawah Unit Rawatan Rapi (ICU), dan 38 daripada jumlah itu memerlukan bantuan alat pernafasan.

Namun, berlaku pertambahan jumlah kematian sebanyak tiga kes menjadikan korban keseluruhan akibat wabak tersebut di Malaysia kini adalah 73 mangsa korban dengan peratusan 1.61 peratus.

Mangsa korban ke 71 merupakan warganegara lelaki, berusia 66 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout. Beliau merupakan kontak rapat kepada kes-452 dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan.

Sementara itu, kes korban ke 72 merupakan warganegara lelaki berusia 71 tahun dengan latar belakang kencing manis, darah tinggi, dan jantung, beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Manakala kes ke-73 merupakan warganegara lelaki berusia 63 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, beliau dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. – HARAKAHDAILY 11/4/2020