Sokong tindakan pantas perangi pencemaran

- Advertisement -

TINDAKAN tegas dan pantas yang dilakukan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam memerangi sebarang isu pencemaran yang berlaku demi kemaslahatan rakyat merupakan satu perkara yang tepat.

Isu berkaitan pencemaran sungai di kawasan Perindustrian Jelapang, Ipoh yang tular semalam telah mendapat maklum balas oleh pihak kementerian dan mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pengarah JAS Negeri Perak untuk mengambil tindakan yang segera.

- Advertisement -

Saya berharap pihak yang bertanggungjawab mengundang sebarang pencemaran yang menjejaskan alam sekitar dan sumber air sewajarnya dikenakan tindakan yang adil dan keras dengan peruntukan undang-undang yang berkaitan demi keselamatan orang awam.

Saya menyokong sepenuhnya usaha pihak kementerian yang akan meneruskan agenda memperkasakan pemuliharaan alam sekitar termasuk pencemaran sungai menerusi penambahbaikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS,1974).

Walaupun akta tersebut masih relevan diguna pakai, namun pindaan yang melibatkan penguatkuasaan dan hukuman perlu segera ditambahbaikan berikutan pembangunan negara yang semakin pesat.

Selain itu, akta ini juga dilihat gagal dalam menangani jenayah alam sekitar dengan lebih berkesan dan pencemaran yang berlaku juga sukar untuk dikawal secara sistematik dan komprehensif.

Akhir sekali, saya menyokong usaha baik dan tindakan yang tegas diambil oleh kementerian dalam memerangi sebarang isu pencemaran yang berlaku sehingga memberi kesan yang buruk kepada keselamatan manusia dan alam sekitar.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman- HARAKAHDAILY 10/4/2020

- Advertisement -