Rakyat diharap bersabar patuh PKP – MP Kemaman

- Advertisement -

PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan dua minggu iaitu 15 hingga 28 April sewajarnya dipandang dari sudut positif oleh semua lapisan masyarakat demi memastikan rantaian wabak Covid-19 benar-benar diputuskan dan keselamatan rakyat terus terjamin.

Saya menyambut baik usaha Kerajaan yang telah melanjutkan tempoh PKP ini dalam memberi peluang kepada petugas-petugas kesihatan untuk memerangi wabak berbahaya ini selain memastikan penularan wabak ini dapat dihapuskan seratus peratus di negara ini.

Selain itu, langkah lanjutan pelaksanaan PKP ini juga adalah selari dengan saranan World Health Organization (WHO) agar perintah kawalan pergerakan tidak segera ditamatkan bagi mengelakkan wabak ini meningkat semula.

- Advertisement -

Terdapat banyak faktor yang dikenalpasti menjadi asbab PKP wajar diteruskan lagi memandangkan rantaian Covid-19 masih lagi gagal diputuskan. Antaranya, jumlah kawasan zon merah yang meningkat menjadi 25 kawasan di seluruh negara.

Sementara itu, pelaksanaan PKP di negara ini juga membimbangkan apabila peratusan kes ingkar arahan oleh orang awam terus bertambah. Apatah lagi, jumlah kenderaan di jalan raya juga turut meningkat. Saya menyambut baik usaha keras PDRM terhadap individu yang ingkar mematuhi pelaksanaan PKP.

Oleh itu, rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa dinasihatkan agar terus bersabar mematuhi arahan sepanjang PKP dikuatkuasakan selain mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi bersama-sama menghapuskan rantaian wabak ini.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 10/4/2020

- Advertisement -