PPE Muslimat Bangi tanda solidariti dan sokongan

BANGI: Kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan negara dalam memerangi pandemik COVID-19 menjadi kebimbangan yang turut dikongsi oleh banyak pihak.

Advertisement

Atas keprihatian tersebut, maka Muslimat PAS Kawasan Bangi telah memanfaatkan kemahiran anggotanya untuk menghasilkan set PPE bagi disumbangkan sebagai kegunaan para petugas terbabit dalam kesiapsiagaan mereka.

Menurut Ketua Muslimat PAS Bangi, Hamsatul Hamzah, projek dari rumah ini merupakan satu bentuk solidariti dan sokongan pihaknya kepada para petugas barisan hadapan negara yang berkorban mendepani wabak maut itu.

“Melihat doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang berusaha keras memerangi COVID-19 ini, kami menggerakkan usaha mencari sukarelawan untuk menyediakan set PPE dari rumah.

“Bahan-bahan PPE ini telah dihantar ke rumah masing-masing. Set yang telah siap ini akan diambil semula oleh runner yang bertugas,” ujar beliau.

Hampir 400 set PPE telah diagihkan ke beberapa Klinik Kesihatan seperti Klinik Kesihatan Putrajaya, Klinik Kesihatan Meru, Klinik Kesihatan Kapar dan Pejabat kesihatan Daerah Hulu Langat.

Penyerahan tersebut telah dilakukan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Ustaz Shafie Ngah bersama Jabatan Amal Selangor. – HARAKAHDAILY 10/4/2020