KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat.
“Saya faham bahawa ekonomi negara kita terjejas kerana sekatan-sekatan yang dibuat terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
“Untuk itu, kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat,” katanya dalam sidang media pengumuman lanjutan PKP sebentar tadi.
Menurutnya, sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kanan Pertahankan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor-sektor ekonomi yang terpilih untuk dibuka secara berperingkat.
“Saya ingin tegaskan bahawa pembukaan beberapa sektor yang terhad ini bukan bermaksud kita melonggarkan perintah kawalan pergerakan.
“Perintah ini masih berkuatkuasa dan semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mestilah dipatuhi. Jika terdapat pengusaha, kilang atau syarikat yang melanggar peraturan, kerajaan akan menarik balik kebenaran yang diberikan,” ujarnya.
Berikutan itu, katanya kerajaaan akan senaraikan sektor yang terbabit akan diumumkan dalam masa terdekat.- HARAKAHDAILY 10/4/2020