KOTA BHARU: Pengayuh beca di bandar Kota Bharu antara yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat perhatian Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK (KSKK PKINK).
Yang DiPertua KSKK PKINK, Nor Azuwan Salleh berkata, seramai 50 pengayuh beca dan asnaf menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas bagi meringankan beban yang dihadapi mereka.
Katanya, KSKK PKINK dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan (BSMM) membantu golongan terbabit memandangkan pendapatan harian mereka terjejas dengan penularan wabak Covid-19 sekarang.
“Kami mengambil tanggungjawab mengutamakan rakyat yang hilang punca pencarian dan terputus bekalan makanan termasuk pengayuh beca, ibu tunggal, warga emas dan mereka yang bekerja sendiri.
“Golongan terbabit diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya selepas menyerahkan sumbangan barangan asas kepada pengayuh beca dan asnaf di Rumah Amal Tengku Muhammad Faris Petra Kota Bharu, di sini hari ini.- HARAKAHDAILY 10/4/2020