MITI benarkan operasi beberapa sektor lagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi kebenaran beroperasi kepada beberapa sektor ekonomi termasuk sektor automotif dan pembinaan tertakluk pada garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan ketat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kebenaran operasi itu merupakan langkah yang pro-aktif dan responsif dalam mengimbangi kelangsungan ekonomi negara dan keberkesanan PKP.

Beliau berkata, langkah itu adalah untuk menjamin kelangsungan ekonomi negara, mengelakkan kehilangan pekerjaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam masa yang sama, jelasnya untuk memastikan rakyat terus mendapat akses kepada keperluan asas dan produk kritikal sepanjang tempoh PKP.

- Advertisement -

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat kerana mendapati tahap pematuhan operasi oleh syarikat-syarikat yang diluluskan pada PKP fasa pertama adalah baik.

“Jemaah Menteri telah mengambil keputusan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

“Keputusan Kerajaan ini adalah hasil kaji selidik yang mendapati bahawa penularan Covid-19 bukan sahaja memberi kesan yang besar ke atas kesihatan.

“Malahan turut membawa mudarat kepada prestasi kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat khususnya industri PKS sebagai penyumbang tenaga kerja terbesar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin berkata, sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi semasa lanjutan PKP adalah industri automotif (terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya atau CBU, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan seperti penyelenggaraan).

Selain itu, industri mesin dan peralatan, aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Turut diberikan kebenaran adalah perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar, perkhidmatan kedai perkakas atau hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik, kedai cermin mata, perkhidmatan gunting rambut asas dan perkhidmatan dobi (bukan layan diri).

Tambah Ahli Parlimen Gombak itu, MITI telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan industri, PKS, serta Kementerian dan agensi lain yang berkaitan, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengenalpasti dan memperhalusi sektor ekonomi tambahan yang boleh dibenarkan beroperasi.

Katanya, langkah ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak Covid-19 Ke Atas Ekonomi dan Pasaran Buruh.

Berikutan keputusan itu, syarikat di dalam sektor tambahan yang disenaraikan boleh membuat permohonan beroperasi kepada MITI bermula Isnin depan.

“Kerajaan terus mempergiatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan langkah-langkah saringan kesihatan dilaksanakan demi keselamatan pekerja dan pelanggan.

“Jawatankuasa Khas Kabinet ini telah membentangkan beberapa cadangan kepada Jemaah Menteri pada 6 dan 8 April 2020 hasil dari pembentangan oleh MITI, Kementerian Kewangan, Khazanah Nasional Berhad dan Bank Negara,” tambah beliau lagi.- HARAKAHDAILY 10/4/2020

- Advertisement -