Kerajaan tanggung lebih RM4 juta insentif

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Fasa 2 menyaksikan kerajaan negeri terpaksa menanggung lebih RM4 juta bagi insentif pengecualian dan penangguhan kepada rakyat di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan Terengganu melalui SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) Bahagian Perumahan menanggung kos melebihi RM4 juta.

- Advertisement -

Ini kerana, katanya susulan langkah pengecualian bayaran sewa premis perniagaan milik kerajaan negeri bagi bulan April 2020 dan penangguhan bayaran sewa Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Kos Rendah (RKR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk dua bulan iaitu April dan Mei 2020.

Menurutnya, sebanyak 991 keluarga yang menghuni PPR Hiliran, Kuala Terengganu akan ditangguhkan bayaran sewa dan kos penyelenggaraan selama dua bulan.

“Penangguhan ini akan diberikan pada bulan April dan Mei 2020 termasuk perkedaian. Ini adalah insentif penangguhan bayaran sewa PPR yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM173,765.00 sebulan,” ujarnya kepada Harakah, semalam.

Sementara itu, kata Dr Alias, pakej rangsangan yang sama sebanyak 10,809 keluarga yang tinggal di 77 projek RKR dan RMM di seluruh negeri Terengganu akan ditangguhkan bayaran sewa dan sewa beli bagi bulan April dan Mei 2020.

“Insentif ini juga mengambil kira keluarga yang tinggal di Pangsapuri Ladang Gemilang I dan II (Kos Rendah) termasuk perkedaian.

“Sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi, kerajaan negeri berhasrat untuk menangguhkan sewa dan sewa beli sehingga tempoh perintah berakhir, Insya’Allah,” jelasnya.

Menurutnya, pakej rangsangan yang diumumkan itu sudah pasti menggembirakan di kalangan rakyat terbabit dengan insentif tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, turut merakamkan ucapan terima kasih atas pertimbangan kerajaan negeri bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19.- HARAKAHDAILY 10/4/2020

- Advertisement -