PASIR MAS: Orang ramai diingatkan tidak terpengaruh dengan laporan berita palsu tentang penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditular pihak tertentu sehingga menyebabkan rakyat menjadi panik.
Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihak tertentu hendaklah menghentikan penyebaran berita palsu.
Katanya, tindakan mereka menyusahkan orang ramai dalam keadaan wabak masih menular sekarang.
“Ia akan menyusahkan kerajaan dan rakan-rakan media yang terpaksa mencari jawapan susulan berita tidak benar yang diviralkan,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan sumbangan kepada 50 penduduk di tujuh mukim di Parlimen Pasir Mas hari ini.
Hadir sama Adun Pengkalan Pasir Dato’ Hanifa Ahmad dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Said Sidup.
Semalam tular berita palsu kononnya laluan ke Bandar Kota Bharu ditutup mulai jam 8 pagi sehingga 1 petang memandangkan Kota Bharu diisytihar sebagai zon merah Covid-19.- HARAKAHDAILY 10/4/2020